TEG horizontal logo 2

Akta 852 dijangka dikuat kuasa sepenuhnya hujung tahun ini

GUA MUSANG – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengimplementasikan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara peraturan yang termaktub mengikut akta itu termasuk pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.

“Akta yang sudah diangkat ke Jabatan Peguam Negara (AGC) itu, kini di peringkat akhir.

“Kesemuanya hampir siap dan mungkin adalah sedikit perlu memperkemaskan, kami benar-benar berharap hujung tahun ini akan dapat melaksanakan akta itu,” katanya selepas merasmikan Kem Kesihatan Kesihatan Minda, Kunci Kesejahteraan Warga Emas di Dewan Komuniti Jeram Tekoh di sini, pada Khamis.

Dr Dzulkefly berkata, semua peraturan dan perintah ini akan dikuatkuasakan serentak dengan Akta 852 termasuk rokok elektronik.

“Peraturan dan perintah yang akan dikuatkuasakan turut melibatkan rokok elektronik.

“Akta juga akan menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape ke atas kanak-kanak bawah umur,” ujar beliau.

Akhbar sebelum ini melaporkan, akta itu akan menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape ke atas kanak-kanak bawah umur dan usaha melawan tabiat merokok secara menyeluruh kerajaan dan masyarakat.

Dalam pada itu, mengikut laman sesawang Majlis Keselamatan Negara, KKM menerima 17 kes penyakit paru-paru, iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) berpunca daripada rokok elektronik, termasuk vape sehingga Jun tahun lalu.

Dr Dzulkefly (tengah) beramah mesra dengan penduduk yang hadir di Dewan Komuniti Jeram Tekoh, Gua Musang, pada Khamis.

Pada masa sama, 69 kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan dari 2015 hingga Ogos 2023.

Sumber: Sinar Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss