TEG horizontal logo 2

KKM harap AGC lulus akta kawalan produk merokok Oktober ini

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Jabatan Peguam Negara (ACG) dapat meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) pada Oktober ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata Akta 852 telah diwartakan pada Februari lalu tetapi belum dikuatkuasakan walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudian ditangguhkan pada Ogos.

“Pelaksanaan akta ini dijangka mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk berkenaan secara terbuka di premis perniagaan.

“Persekitaran yang bebas tanpa amalan merokok amatlah penting dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rokok pada tahun 2040,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) Peringkat Negeri Kelantan 2024 hari ini.

Terdahulu, sebanyak 12 premis makanan menerima tanda pengiktirafan keselamatan dan kebersihan makanan.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata, setakat ini penguatkuasaan larangan merokok di tempat larangan masih lagi berjalan tanpa henti dengan akta yang sedia ada.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 12,022 operasi pematuhan kepada larangan merokok di tempat larangan sudah dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari hingga Ogos lalu.

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 86,402 notis kesalahan di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan manakala sebanyak 35,996 notis kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) (d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 turut dikeluarkan,” katanya.

KKM tingkat kawalan di pintu masuk negara kekang penularan jangkitan

Dalam perkembangan lain, Lukanisman berkata, petugas kesihatan dan semua klinik di seluruh negara sudah berada dalam keadaan bersiapsiaga untuk berdepan dengan kes jangkitan cacar monyet atau Mpox.

Setakat ini kes Mpox masih lagi terkawal dan belum menjadi satu wabak, katanya.

Bagaimanapun, KKM akan tetap memberi perhatian terutama kepada golongan berisiko yang mungkin melakukan aktiviti yang kurang sihat atau berisiko sehingga menjangkiti individu lain.

Media sebelum ini melaporkan, KKM mengesan satu kes positif cacar monyet atau Mpox varian Clade II di negara ini pada 16 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kes berkenaan dikesan daripada 58 kes disyaki Mpox yang sudah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini.

Sumber: BH

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss