KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) pada Oktober ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, penguatkuasaan itu dijalankan sebaik saja peraturan dan perintah berkaitan akta tersebut diwartakan.
“Kita telah menguatkuasakan Akta 852. Terbaharu, kita sedang menunggu Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi maklum balas berhubung perkara itu.
“Kita jangka undang-undang itu akan mendapat maklum balas pada Oktober ini sebelum penguatkuasaannya dapat dilaksanakan segera,” katanya pada pemberita selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Medan Selera Laman Siti Khadijah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman memberitahu, penguatkuasaan larangan merokok di tempat larangan masih lagi berjalan tanpa henti dengan akta yang sedia ada.
Katanya, sehubungan itu, sebanyak 12,022 operasi pematuhan kepada larangan merokok di tempat larangan telah dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari sehingga Ogos lalu.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 86,402 notis kesalahan di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah dikeluarkan.
“Sebanyak 35,996 notis kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) (d), PPKHT 2004 turut dikeluarkan,” ujarnya.
Tambah Lukanisman, sebanyak 8,762 aduan diterima berkaitan kesalahan merokok di premis makanan bagi tempoh lapan bulan pada tahun ini.
Sumber: Utusan