TEG horizontal logo 2

Kuatkuasa dengan ketat Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa penguatkuasaan Seksyen 13 dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) dilaksanakan dengan lebih ketat.

Seksyen itu antara lain menghalang sebarang penjualan produk yang berkaitan dengan tembakau serta nikotin kepada kanak-kanak.

Selain itu, Pejabat Pesuruhajaya itu menggesa Seksyen 17 dalam Akta 852 yang menjadikan perbuatan menghisap atau menggunakan sebarang produk berasaskan tembakau atau produk pengganti tembakau dalam kalangan individu berusia bawah 18 tahun sebagai satu kesalahan perlu dikuatkuasakan dengan tegas.

Pada masa sama, kerajaan diminta memperhebat usaha mengekang bekalan rokok elektronik yang menyasarkan golongan kanak-kanak serta bawah umur, dengan pemantauan ketat penjualan yang tidak sah di media sosial.

“Kejayaan langkah pencegahan ini berkait rapat dengan ketulusan dan kesungguhan dalam penguatkuasaan akta ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta 852 pada bulan ini.

Mengulas kes seorang pelajar sekolah menengah di Kemaman yang berada dalam keadaan kritikal selepas menghisap rokok elektronik dengan cecair atau gel “magic mushroom” secara berlebihan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga menggesa ibu bapa dan penjaga lebih peka dengan risiko kesihatan yang dikaitkan dengan produk rokok elektronik.

Katanya, produk berkenaan lazimnya dipasarkan di media sosial dengan bungkusan yang terang dan beraneka perisa, sekali gus menarik perhatian, terutama golongan muda.

“Ibu bapa dan penjaga yang mendapati anak-anak mereka menghisap rokok elektronik haruslah segera mendapatkan bantuan.

“Fasiliti kesihatan kerajaan dan organisasi profesional yang berkaitan menawarkan perkhidmatan berhenti merokok, yang terdiri daripada rawatan serta kaunseling,” katanya.

Selain itu, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga mengingatkan orang awam mengenai bahaya naratif yang mempromosikan rokok elektronik atau vape sebagai pengganti tembakau yang ‘lebih sihat serta kurang berisiko’ untuk perokok menghentikan tabiat mereka.

“Perang menentang tembakau ini tidak seharusnya disertai dengan sogokan nikotin atau bahan kimia yang mengakibatkan ketagihan kepada pengguna baharu, terutama sekali kanak-kanak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss