TEG horizontal logo 2

Penjualan Vape Tanpa Kawalan

Tinjauan awal oleh Pusat Racun Negara mendapati banyak penjualan vape di premis yang bukan ekslusif seperti kedai-kedai runcit, kedai serbaneka, restoran dan sebagainya, dijual tanpa kawalan.

Ada di antara premis-premis ini meletakkan kotak-kotak vape berdekatan atau di tempat penjualan gula-gula dan makanan ringan. Ada juga yang diletakkan terlalu rendah, kurang daripada 3 kaki dari lantai, yang mana adalah paras yang mudah dilihat dan dicapai oleh kanak-kanak. Rekabentuk vape dalam pelbagai bentuk menarik seperti permainan kanak-kanak, boleh didapati dalam bermacam-macam perisa makanan serta saiz yang kecil, mudah digunakan dengan harga yang murah menjadi punca peningkatan penggunaan dalam kalangan remaja mahupun kanak-kanak. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 telah mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun meningkat dari 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2022. Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8% pada tahun 2017 meningkat kepada 6.2% pada tahun 2022.

Lebih mengejutkan, dalam tinjauan yang dijalankan mendapati vape disediakan sebagai hadiah dalam mesin permainan kanak-kanak. Kanak-kanak hanya perlu memasukkan token berjumlah RM2 sahaja ke dalam โ€˜claw machineโ€™ dan berpeluang mendapat hadiah berupa vape. Perbuatan ini adalah sangat tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan penggunaan vape kepada golongan kanak-kanak.

๐—ฃ๐—ฒ๐—ฟ๐˜‚๐—ฏ๐—ฎ๐—ต๐—ฎ๐—ป ๐—ง๐—ฟ๐—ฒ๐—ป๐—ฑ ๐—ž๐—ฒ๐—ฟ๐—ฎ๐—ฐ๐˜‚๐—ป๐—ฎ๐—ป ๐—ฉ๐—ฎ๐—ฝ๐—ฒ

Pusat Racun Negara mendapati berlakunya perubahan trend kes keracunan vape atau rokok elektronik di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Sejak tahun 2015 hingga 2021, kebanyakan kes keracunan vape yang dirujuk ke Pusat Racun Negara adalah melibatkan kes-kes terminum jus cecair vape secara tidak sengaja oleh golongan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Namun, trend ini telah berubah kepada penerimaan lebih banyak kes-kes yang melibatkan golongan remaja dan dewasa yang menghisap vape.

Sehingga kini, Pusat Racun Negara telah menerima sebanyak 97 kes keracunan vape, di mana 41 kes melibatkan remaja dan dewasa berumur 15 tahun ke atas yang kebanyakannya diterima dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini.

Antara gejala-gejala yang kerap dilaporkan termasuklah muntah,pengsan dan juga sawan yang disyaki akibat pendedahan terhadap dos nikotin yang terlalu tinggi daripada vape berbentuk pod yang banyak di pasaran.

Tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 beberapa bulan yang lalu telah menyebabkan nikotin dalam vape bebas tanpa kawalan. Kandungan nikotin dalam vape boleh mencecah 50 hingga 60mg dalam satu mililiter (ml). Justeru itu, tidak mustahil ramai pengguna baru khususnya dalam kalangan remaja atau pun kanak-kanak mengalami keracunan vape berpunca daripada dos nikotin yang berlebihan.

PRN pernah menerima panggilan berkaitan kes kanak-kanak seusia 9 tahun yang telah pun menjadi penghisap vape tegar yang menggunakan vape jenis pakai buang. Kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami gejala sesak nafas, muntah, demam yang tinggi serta ruam di seluruh badan selepas mencuba vape perisa baru. Dalam kes yang berlainan, seorang lagi kanak-kanak yang juga berusia 9 tahun telah dikejarkan ke hospital kerana muntah-muntah dan pengsan selepas cuba-cuba menghisap vape kepunyaan bapa saudaranya selama 4 hari berturut-turut. Beliau tertarik dengan perisa susu pisang vape tersebut dan didapati vape tersebut adalah dari jenis pakai buang dengan kandungan nikotin yang tinggi.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kes-kes pengguna vape mengalami gejala-gejala yang lebih teruk seperti kerap meracau dan berhalusinasi dengan perubahan tingkahlaku menjadi agresif. Gejala ini berkemungkinan disebabkan oleh penambahan dadah berbahaya ke dalam vape tersebut. Sejak 2 tahun kebelakangan ini juga PRN kerap menerima kes vape yang didakwa mengandungi Magic Mushrooms atau bahan aktifnya psilosibin yang sebelum ini sering disalahgunakan dengan cara merebus dan meminum air rebusan atau memakan secara terus untuk mendapat kesan khayal. Namun, sejak adanya peranti vape dalam pasaran, ia telah menjadi alat untuk penagih menagih dadah. PRN khuatir dengan fenomena ini kerana kini terdapat dadah-dadah baru dalam pasaran gelap yang sukar dikesan melalui ujian saringan serta tidak diketahui kesan mudaratnya lagi terhadap kesihatan.

Antara kes yang pernah diterima oleh PRN melibatkan seorang remaja berusia 20 tahun dan didakwa mula berubah kelakuan selepas menggunakan vape. Beliau menjadi agresif dan sehingga bertindak memecahkan mangkuk tandas serta mengalami delusi dan halusinasi pendengaran sehingga mendorong kepada cubaan bunuh diri.

Penjualan rokok elektronik dan vape yang berleluasa tanpa kawalan akan menyukarkan langkah-langkah membendung pengunaan vape oleh golongan kanak-kanak dan remaja.

Pusat Racun Negara menggesa agar RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dengan peruntukan GEG (Generasi Penamat Merokok) dapat diluluskan dengan segera untuk mengawal penjualan vape atau apa sahaja produk merokok sebelum lebih ramai lagi generasi muda anak cucu kita terjebak dalam ketagihan nikotin ini.

Sumber: FB Pusat Racun Negara

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss