Usaha menormalisasikan vape ataupun e-cigarette dalam kalangan kanak-kanak disifatkan semakin parah, terbaharu sampul duit raya yang sinonim diberikan di musim perayaan Aidilfitri turut mempromosikan produk itu.
- Usaha menormalisasikan vape ataupun e-cigarette dalam kalangan kanak-kanak disifatkan semakin parah, terbaharu sampul duit raya yang sinonim diberikan di musim perayaan turut mempromosikan produk itu.
- Pensyarah Fisiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyatakan kebimbangan itu dalam hantarannya di Facebook (FB) turut menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha vape yang melakukan promosi sedemikian.
- Public Health Malaysia juga turut menyuarakan kebimbangan sama dengan menyifatkan kerosakan semakin parah berlaku dan industri vape terlalu rakus, termasuk dalam mempromosikan produk berkenaan.
KUALA LUMPUR — Usaha menormalisasikan vape ataupun e-cigarette dalam kalangan kanak-kanak disifatkan semakin parah, terbaharu sampul duit raya yang sinonim diberikan di musim perayaan Aidilfitri turut mempromosikan produk itu.
Pensyarah Fisiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyatakan kebimbangan itu dalam hantarannya di Facebook (FB) turut menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha vape yang melakukan promosi sedemikian.
Menggunakan tanda pangkah ‘#DrZ please do the right thing as the Minister of Health!!’, beliau juga mempersoalkan kewujudan pelaksanaan undang-undang melarang sebarang bentuk promosi atau pengiklanan produk vape.
“Di mana undang-undang yang melarang sebarang bentuk pengiklanan bahan merbahaya ini? Normalisasi vape/e-cig dimana-mana!
“Sekurang-kurangnya keluarkanlah kenyataan tegas terhadap pengusaha-pengusaha vape ini.
“Kenapa page rasmi Menteri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba-tiba kelu untuk memberi amaran tentang vape/e-cig/pod?” katanya pada Rabu.
Public Health Malaysia dalam hantaran di FB turut menyuarakan kebimbangan sama dengan menyifatkan kerosakan semakin parah berlaku dan industri vape terlalu rakus, termasuk dalam mempromosikan produk berkenaan.
Katanya, mempromosikan produk vape menerusi sampul duit raya yang sinonim dengan kanak-kanak adalah satu tindakan halus menormalisasikan vape dalam kalangan golongan bawah umur.
Malah, produk itu juga disediakan dengan berwarna-warni, pelbagai perisa buah-buahan yang digemari kanak-kanak.
“Kerosakan yang semakin parah, industri vape terlalu rakus. Adakah ini masih belum cukup membimbangkan?” katanya.
Pada Februari lalu, media melaporkan ramai peminat mempersoal tindakan sebuah kelab bola sepak menerima tajaan syarikat rokok elektronik sedangkan kerajaan mengharamkan perkara itu sejak 2004.
Ini kerana pihak kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian Kovensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) termasuk mewujudkan undang-undang domestik iaitu Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) pindaan 2004 yang berkuatkuasa 14 Ogos 2004.
Sumber: Facebook Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Public Health Malaysia, The Merdeka Times