KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peserta menyertai acara larian Generational Endgame Advocacy Roadshow Run (GEGARUN) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia.
Menerusi program tersebut, peserta berlari sejauh lima kilometer (km) di beberapa laluan di ibu negara sekali gus memberi sokongan kepada amalan hidup sihat tanpa penggunaan tembakau.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr. Norhayati Rusli selain dihadiri oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh.
Dr. Norhayati berkata, pelbagai acara diadakan sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia dengan salah satunya ialah GEGARUN anjuran Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch) bersama-sama rakan kongsi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Menurutnya, pihak tersebut telah mengambil inistiatif untuk menganjurkan program larian ini sempena menyokong aktiviti Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus membanteras masalah merokok.
“Kita juga mahu mengingatkan orang ramai untuk mengambil berat berkaitan tembakau ini. Ia boleh menyebabkan komplikasi tertentu dari segi kesihatan kepada perokok.
“Malah kita khuatir apabila seseorang individu mula merokok, sukar untuk dihentikan kecuali mereka ada usaha sendiri memberhentikannya,” katanya ketika ditemui pada program GEGARUN di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, adalah penting untuk memastikan mereka yang belum terjebak dengan rokok untuk tidak sesekali mencuba perbuatan tersebut.
“Justeru kita memerlukan komitmen dan sokongan semua pihak termasuk individu, ahli keluarga, komuniti dan seluruh agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO bersama-sama KKM.
“Kita pastikan semua aktiviti yang dilaksanakan terutama pencegahan kawalan dapat dijalankan selancar mungkin sekali gus melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera bebas rokok,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Norhayati berkata, selain rokok, aktiviti larian tersebut salah satu promosi amalan hidup sihat kepada rakyat selain platform mendapatkan maklumat bahaya merokok sekali gus bersama-sama mencegahnya.
Sumber: Kosmo!