TEG horizontal logo 2

14,617 murid dikesan hisap rokok dan vape setakat September lalu

Kuala Lumpur: Seramai 14,617 murid dikesan terbabit dalam salah laku gejala merokok dan vape sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu merangkumi 0.29 peratus daripada jumlah keseluruhan 5.1 juta murid yang direkodkan bersekolah tahun ini.

“Pada tahun 2023, peratusan murid yang terbabit dalam gejala rokok ialah 0.07 peratus daripada 5.06 juta murid atau bersamaan 3,540 orang murid manakala peratusan murid terbabit salah laku vape ialah 0.26 peratus (13,427 orang).

“Untuk tahun 2024 setakat September lalu, 0.05 peratus terlibat dalam rokok atau 2,365 orang daripada 5.1 juta murid manakala 0.24 peratus atau 12,252 orang terbabit dalam salah laku vape,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai sejauh mana pihak sekolah menguatkuasakan segala peraturan dan panduan khas mengenai vape dan merokok dalam kalangan pelajar serta statistik berapa ramai pelajar terbabit dalam gejala ini.

Mengulas lanjut, Wong berkata, KPM mengeluarkan beberapa garis panduan termasuk Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 1997, SPI Bilangan 5 Tahun 1997 serta SPI Bilangan 6 Tahun 2000 selain Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 bagi menangani isu merokok dalam kalangan murid.

“Setiap satu garis panduan dan SPI itu menjadi panduan dan dokumen wajib diikuti dan dikuatkuasakan pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN).

“Pihak KPM menegaskan, penguatkuasaan garis panduan dan SPI wajib dan sememangnya sepanjang masa dikuatkuasakan.

“Pada masa sama, KPM memohon kerjasama dan panduan daripada ibu bapa dan masyarakat berkenaan kesedaran supaya tidak terbabit dalam salah laku rokok dan vape dalam kalangan murid dan pelajar.

“Selain itu, peruncit mematuhi segala undang-undang sedia ada untuk tidak menjual vape atau rokok kepada mereka di bawah umur,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss