Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus berusaha mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok termasuk vape.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sebagai contoh bagi tahun 2023, menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK), seramai 1,540,035 pelajar disaring dan 38,010 pelajar yang didapati merokok diberikan intervensi berhenti merokok.
Selain itu, katanya, seramai 2,413,761 murid sudah disaring dan daripada jumlah itu, seramai 374 murid didapati merokok dan diberikan intervensi berhenti merokok.
“KKM telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berjaya memberi latihan kepada 141 guru kaunseling dan guru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) untuk mengendalikan pelajar yang terbabit dengan tabiat merokok.
“Bagi tahun 2023 juga, KKM berjaya melaksanakan sekurang-kurangnya 86 aktiviti promosi dan advokasi pencegahan merokok bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), IKRAM Health dan Yayasan Sukarelawan Siswa.
“Program kerjasama ini turut melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan komuniti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai sejauh mana kejayaan kementerian mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok termasuk vape.
Selain itu, Halimah turut ingin penjelasan berhubung sejauh mana industri rokok menghalang hasrat kerajaan meminimumkan ‘first smoke’ atau pendedahan rokok terawal dalam kalangan pelajar.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kewujudan pelbagai produk merokok terutama rokok elektronik yang dipromosikan secara berleluasa turut menjejaskan usaha kerajaan untuk mengekang pendedahan rokok terawal, terutamanya dalam kalangan pelajar.
Bagaimanapun katanya, bagi mengekang perkara itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah antaranya memperketat larangan penjualan produk merokok kepada golongan Orang Bawah Umur (OBD) di bawah Seksyen 13, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang baru diwartakan pada 2 Februari 2024.
Selain itu, tindakan kerajaan lain adalah memperkukuh undang-undang terhadap larangan pengiklanan dan penjualan produk merokok termasuk produk merokok tiruan menyerupai mainan kanak-kanak melalui Akta 852.
“Memastikan pematuhan terhadap Artikel 5.3 WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang menetapkan bahawa Malaysia sebagai negara anggota perlu melaksanakan kawalan tembakau serta melindungi dasar tersebut dari kepentingan komersial dan kepentingan industri tembakau berlandaskan undang-undang negara,” katanya.
Sumber: Harian Metro