TEG horizontal logo 2

51 persatuan, NGO sokong Akta Kawalan Tembakau dan Merokok

KUALA LUMPUR: Sebanyak 51 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyokong usaha kerajaan memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang baharu bagi mewujudkan generasi bebas daripada tabiat merokok.

Ini berikutan lebih 15 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital negara adalah akibat komplikasi penyakit yang disebabkan oleh tabiat merokok seperti sakit jantung, penyakit pulmonari kronik dan kanser.

Mereka menyifatkan keadaan itu membebankan kerana negara terpaksa menanggung kos rawatan penyakit berkenaan kira-kira RM16 bilion setahun.

“Negara juga menerima kesan kerugian besar akibat kehilangan produktiviti mereka kerana lebih daripada 27,000 kematian rakyat Malaysia pada setiap tahun adalah berkaitan tabiat merokok.

“Lebih malang, penyakit dan kematian yang berlaku bukan sahaja membabitkan perokok, tetapi juga golongan bukan perokok yang sering terdedah kepada asap rokok basi, terutama golongan kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mereka berpendapat, orang Melayu yang majoritinya beragama Islam adalah perokok tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Malaysia manakala negeri yang mempunyai perokok tertinggi pula adalah daripada negeri yang majoriti penduduk Islam seperti Kedah dan Terengganu.

“Kemunculan rokok elektronik atau vape sejak tahun 2015 menambahkan lagi bebanan ini kepada negara kerana wujud pula penyakit baharu seperti E-cigarette or Vaping product use-Associated Lung Injury (EVALI).

“Lebih menyedihkan, pengguna dan usahawan yang terbabit untuk produk merokok baharu ini juga tinggi dalam kalangan umat Islam. Kemunculan EVALI ini sangat merisaukan kerana bilangan pengguna vape di negara kita yang tinggi sehinggakan satu panduan klinik diterbitkan, Clinical Practice Guidelines (CPG) – Management of E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated LungInjury (EVALI) (3),” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa ‘merokok adalah haram mengikut pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan’ manakala Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Bilangan 3/2015 pada 21 Disember 2015 pula membuat keputusan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

“Begitu juga fatwa yang diwartakan di negeri seluruh Malaysia. Namun, fatwa yang sudah lama diwartakan ini tidak dikuatkuasakan dengan peruntukan hukuman tertentu,” katanya.

Berikutan itu, persatuan dan NGO itu mengemukakan lima saranan, iaitu memohon semua ahli Parlimen terutama yang beragama Islam memberi sokongan sepenuhnya kepada akta ini serta pengenalan generasi penamat kerana ia tanggungjawab mereka untuk melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia.

“Kita juga menggesa semua rakyat Malaysia, terutama yang beragama Islam untuk bersama-sama memberi sokongan dan berdoa agar akta ini diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara demi menghindarkan generasi baharu umat Islam daripada terbabit dengan rokok serta tabiat merokok termasuk penggunaan produk merokok yang baharu seperti vape dan shisha.

“Kita juga memohon agar perokok berhenti dan menjauhi tabiat buruk merokok, vaping dan apa-apa produk seumpamanya serta menghormati fatwa yang sudah mewartakan haram dalam penggunaannya dan keterbabitan dengan produknya,” katanya.

Selain itu, mereka menggesa komuniti Islam termasuk masjid, surau dan persatuan agar terus menggalakkan, memberi sokongan serta saluran bagi perokok untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan oleh kerajaan.

SUMBER: Berita Harian

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA 51 NGO ISLAM SOKONG AKTA KAWALAN TEMBAKAU DAN
MEROKOK YANG BAHARU SERTA PELAN GENERASI PENAMAT

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss