TEG horizontal logo 2

7 gagal dapat kebenaran cabar larangan merokok di kedai makan

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan persoalan dikemukakan bagi mendapatkan kebenaran merayu bukan untuk kepentingan awam.

PUTRAJAYA: Usaha tujuh individu selama lima tahun mencabar di mahkamah keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) melarang merokok di semua kedai makan kini sudah berakhir.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kebenaran untuk mereka merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan tahun lepas.

Hakim Zabariah Yusof, yang mempengerusikan panel tiga anggota, berkata Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Laisani Dollah, 49, Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Noor, 56, Yazid Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43, gagal melepasi ambang untuk mendapatkan kebenaran seperti yang dikehendaki bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peruntukan itu menyatakan bahawa pemohon mesti merangka persoalan undang-undang dan perlembagaan baharu yang berkait kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama.

“Persoalan yang dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran juga bukan untuk kepentingan awam,” kata Zabariah, yang bersidang bersama Hakim Hasnah Hashim dan Nordin Hassan.

“Kami menolak permohonan (kebenaran) dengan kos RM30,000 perlu dibayar kepada responden.”

Pada 23 Nov tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan kerajaan melarang merokok di semua kedai makan.

Mereka memutuskan bahawa merokok di tempat awam bukanlah hak asas yang harus dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim M Gunalan berkata, menteri kesihatan diberi kuasa bawah undang-undang untuk mengenakan sekatan merokok, termasuk di tempat atau waktu merokok dilarang.

Gunalan, yang bersidang bersama Hakim Yaacob Sam dan Lim Chong Fong, berkata mereka bersetuju bahawa hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mariana Yahya juga tidak melakukan kesilapan undang-undang atau fakta dalam membuat keputusan menolak semakan kehakiman oleh perayu.

Ketujuh-tujuh individu tersebut mendapat kebenaran untuk merayu sebelum merit permohonan itu ditolak.

Pada 29 Okt 2019, Mariana, kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan semakan kehakiman oleh tujuh individu tersebut untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.

Semakan kehakiman mereka yang difailkan pada 31 Dis 2018 menamakan menteri kesihatan, KKM dan kerajaan sebagai responden.

Ketujuh-tujuh individu tersebut, yang menubuhkan Persatuan Pertahankan Perokok, turut memohon deklarasi bahawa keputusan KKM melarang merokok di kedai makan bercanggah dengan perlembagaan.

KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan pada 1 Jan 2019.

Mereka yang ditangkap merokok d premis-premis berkenaan akan didenda RM10,000 manakala pengusaha restoran yang gagal mematuhi larangan itu akan didenda RM2,500.

Tujuh individu terbabit diwakili Haniff Khatri Abdullah selaku peguam, manakala peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden.

Sumber: Free Malaysia Today

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss