TEG horizontal logo 2

Luluskan dahulu undang-undang larangan produk tembakau sebelum cukai bahan vape : Komen Dr. Hana Hadzrami

29 March 2023

Bulan ini, dalam tempoh dua minggu sahaja, saya dah berikan bius untuk pembedahan kes paru-paru bocor kepada 5 orang pemuda. Itu baru saya seorang; belum campur kes yang dikendalikan oleh rakan-rakan saya lagi.

Majoriti pembedahan dijalankan dalam bentuk NIVATS (Non-intubating Video Thoracoscopy); dimana pesakit berada dalam keadaan separa sedar; hanya diberikan bius tidur ringan berserta bius setempat yang dicucuk dari tulang belakang dada.

Slot pembedahan thorasik yang dulunya hanya sekali seminggu telah ditambah menjadi dua kali seminggu disebabkan keperluan yang kian mendesak. Saban minggu kes pembedahan thorasik kami boleh mencecah 6-8 pesakit, termasuk kes kecemasan.

Bilangan kes paru-paru bocor kini dah mengalahkan kes kanser paru-paru pula. Berlumba-lumba nampaknya.

Kesemua pesakit tersebut adalah muda remaja sekitar 20an. Dan 95% adalah pengguna vape tegar.

Kalau dulu kesan rokok selepas 10-15 tahun baru nampak ketara. Tapi kesan vape lebih laju; hanya 1-2 tahun pun dah nampak penangannya.

Mereka kebanyakannnya datang dengan sesak nafas dan sakit dada secara tiba-tiba. Kalau sempat datang ke hospital, maka kami boleh beri bantuan segera dengan menebuk dada untuk meredakan tekanan; sementara nak dibedah.

Ada juga yang tak sempat ke hospital. Tahu-tahu jumpa dah jadi arwah dalam bilik. Nauzubillah.

Kesan vape sangat ketara pada paru-paru yang baru; lebih muda seseorang, lebih laju kesan kerosakan.

Bayangkan pula pod-pod vape sekarang dijual dalam bentuk comel dan berlambang kartun. Kecil dan tak perasan jika dibawa. Untuk siapa target mereka agaknya?

Baru-baru ini ada cadangan supaya nikotin nak dikeluarkan dari Akta Racun. Nak dimasukkan dibawah Akta Makanan pula. Dek kerana nak dikenakan cukai untuk menjana pendapatan.

Apa implikasinya kepada kita?

Bermakna akan datang, penjualan cecair nikotin tidak lagi haram dan tak boleh dirampas oleh penguatkuasa. Bermakna vape bernikotin boleh dijual di premis awam dan sesiapa saja boleh mendapatkannya termasuk kanak-kanak.

Perlu diingat; bukan hanya cecair nikotin boleh diletakkan dalam pod vape; tetapi kanabis dan THC juga. Bagaimana agaknya kita nak pantau anak-anak kita jika ianya berleluasa?

Sudahlah saranan semua persatuan perubatan untuk Generasi End Game gagal dan ditolak mentah-mentah. Bahana rokok pun tak berkesudahan, nak ditambah dengan vape pula.

Saya bayangkan nanti, jika penjualan cecair nikotin tidak dibendung, bakal pesakit paru-paru bocor kami mungkin semakin muda umurnya.

Semuda budak sekolah rendah atau tadika barangkali.

Sumber: Perkongsian oleh Dr. Hana Hadzrami

Bacaan lanjut: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1083118/luluskan-dahulu-undang-undang-larangan-produk-tembakau-sebelum-cukai?fbclid=IwAR2twBmgRoQqZmknt5nZZHjIaU5I630W9Mgv2PcUtrmy-0HHYi28el-dlgs

#SupportGEG

#SayangiAnakMudaMalaysia

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss