TEG horizontal logo 2

Malaysia Madani Tanpa Nikotin?

Pagi ni saya pandu kereta melalui lebuhraya di Sungai Besi. Saya nampak satu papan tanda gergasi.

“Malaysia Madani, Negara Bangsa Progresif”

Saya tengok sebelah kanan. Ada MRT sedang beroperasi. Saya lalu tol, sangat muda dengan RFID. Saya isi minyak, hanya guna aplikasi tanpa perlu jumpa juruwang.

Alhamdulillah, Malaysia semakin maju dan moden. Timbul rasa bangga sebagai rakyat Malaysia. Saya yakin, anda pun sama. Tak kira apa pegangan politik anda, pasti akan ada hatta sekelumit rasa bangga jadi rakyat Malaysia.

Tapi…

Saya risau bila terfikir tentang masa depan.

Bangsa yang progresif adalah bangsa yang berkembang dengan harmoni, adil dan berteraskan ilmu yang digunakan untuk manfaat semua.

Dan ini semua hanya boleh dicapai dengan kesihatan dan modal insan yang baik.

Saya risau dengan nikotin yang boleh dijual tanpa kawalan Akta Racun sekarang ni, akan menjadikan bangsa Malaysia tidak lagi progresif.

1. Vape dan nikotin bukan jalan untuk berhenti merokok. Perokok yang menggunakan vape untuk berhenti merokok bukan sahaja tidak berhenti dari ketagihan mereka, malah berisiko jadi dual-user. Dan dual-user telah terbukti meningkatkan risiko sakit jantung yang lebih tinggi.

2. Pengguna vape juga berpotensi menelan nikotin yang lebih tinggi berbanding rokok. Akhirnya, gagal untuk keluar dari ketagihan.

3. Lebih 300 000 pelajar sekolah telah terjebak dengan vape. Ini kita tak boleh nafi. Dan mereka ini sepatutnya jadi modal insan kita di masa akan datang. Tapi kalau mereka dah jadi penagih nikotin dari kecil lagi, otak mereka akan terbantut. Kita akan mundur.

4. Telah ada bukti vape digunakan sebagai medium untuk campuran dadah. Saya sendiri pernah berbual dengan pelajar masukkan tar dalam vape mereka untuk rasa lalok. Kita nak anak kita jadi penagih yang lalok ke?

Tidak…

Kita nak Malaysia Madani yang progresif.

Jadi, ahli-ahli parlimen wajib ada resolusi untuk kawal masalah ini. Perlu ada undang-undang yang menyentuh dua perkara utama ini:

1. Kawalan terhadap jualan vape dan rokok untuk pengguna sedia ada.

2. Undang-undang yang menghalang anak bangsa kita dari terus terjebak dalam kancah penagihan rokok, nikotin dan vape.

Kempen kesedaran dan edukasi tak cukup. Penat dah kami buat. Prevalen perokok masih 1 dalam 5 orang. Malah vape tumbuh dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah tanpa kawalan.

Ini tanggungjawab ahli-ahli Parlimen. Tanpa mengira blok politik. Ini bukan hanya isu kesihatan, tetapi ia isu masa depan yang melibatkan anak-anak bangsa kita.

Saya mohon rakyat bersama MP-MP bersuara. Jangan dipengaruhi industri yang melobi dengan duit dan informasi yang salah!

Kita tak nak bila nasi menjadi bubur, kita menyesal sebab berada di pihak yang salah.

Dr Amirul Amzar

Pakar Perubatan Keluarga

Ahli Nicotine Addiction Research and Collaborating Group (NARCC)

Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3)

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss