TEG horizontal logo 2

RUU Kawalan Tembakau dan GEG Selari Hasrat PM

Rang undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2023 serta pelaksanaan Generasi Penamat Merokok atau Generational End Game (GEG) yang akan dibentangkan dalam sidang parlimen bulan Mei ini mempunyai pendekatan yang selari dengan hasrat ingin dicapai oleh Perdana Menteri.

Ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) pada 4 April yang lepas, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan tiga langkah penting pendekatan kerajaan dalam usaha mengurangkan tabiat merokok dan vaping dalam kalangan rakyat.

Tiga langkah tersebut adalah:

  1. Kesederhanaan – Kerajaan mengambil pendekatan yang sederhana dalam usaha mengawal selia semua produk merokok termasuk vape serta bahan yang mengandungi nikotin di negara kita.
  1. Tidak drastik – Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa tindakan drastik mengharamkan terus produk ini tidak akan mampu dicapai dalam usaha mengawal masyarakat daripada meneruskan tabiat tersebut.
  1. Advokasi kesedaran – Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan mempergiatkan lagi kempen advokasi kesedaran menolak vape dan merokok.

Oleh itu, jika kita lihat apa yang terkandung dalam RUU dan GEG ini (selepas pindaan dibuat hasil daripada syor-syor Jawatankuasa Parlimen Khas (JKPK)), ia sebenarnya telah pun mempunyai ciri-ciri langkah seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri tersebut.

Antara pendekatan sederhana yang diterapkan dalam RUU versi baharu ini terutamanya terhadap golongan GEG adalah; pengguguran kesalahan pemilikan, penurunan jumlah denda dari RM5,000 kepada RM500, menjadikannya kesalahan yang boleh dikompaun serta tiada hukuman penjara yang akan dikenakan terhadap mereka, sebaliknya digantikan dengan perintah khidmat masyarakat dan integrasi rawatan berhenti merokok.

Manakala pelaksanaan GEG dalam RUU ini pula adalah bukti bahawa pendekatan yang tidak drastik sedang diambil dalam mengharamkan penggunaan produk-produk ini kerana melalui GEG, larangan membeli dan merokok hanya akan terpakai kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya sahaja.

Kita semua maklum bahawa generasi 2007 sekarang ini pun memang sudah tidak merokok kerana mereka sedang berada dalam golongan orang bawah umur yang dilarang merokok. Jika ada pun, ia hanyalah sebilangan kecil dan kita masih sempat jalankan intervensi pemulihan segera di peringkat-peringkat sekolah.

Maka, larangan secara bertahap (tadarruj) seperti ini meskipun mengambil masa, akan menjadi satu langkah strategi yang terbaik kerajaan bagi mengurangkan prevalen penggunanya menjelang tahun 2040.

Sejajar dengan itu, RUU ini juga telah menggariskan hanya penguatkuasaan pendidikan sahaja yang akan dijalankan terlebih dahulu sebaik RUU ini diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Langkah ini akan membolehkan aktiviti promosi pendidikan dan advokasi kesedaran terutamanya kepada kumpulan sasar dapat dilaksanakan dengan meluas di seluruh negara, manakala penguatkuasaan penuh pula akan dimulakan tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 2028.

Justeru, andai Perdana Menteri ikhlas ingin melihat kawalan produk dan pengurangan tabiat merokok dan vaping ini tercapai hasratnya melalui pendekatan tersebut, maka tiada alasan lagi RUU Kawalan Tembakau dan GEG tidak dibawa ke Sidang Parlimen pada bulan Mei ini untuk dibentangkan dan diluluskan dengan segera, lagi-lagi setelah cecair atau gel bernikotin untuk rokok elektronik dikeluarkan daripada Akta Racun 1952.

Dr Mohd Afiq Mohd Nor

Yang Dipertua

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)

merangkap

Pengarah Kempen

Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR)

Sumber: Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss