TEG horizontal logo 2

Bahana hisap vape mulut wanita penuh ulser hingga tak boleh makan

Selepas setahun menghisap rokok elektronik, seorang wanita berusia 22 tahun berdepan dengan masalah lepuh kecil berair pada sekitar kawasan mulutnya.

BARU setahun menghisap rokok elektronik, seorang wanita berusia 22 tahun dari Indonesia berdepan dengan masalah lepuh kecil berair pada sekitar kawasan mulutnya.

Tabiat itu dikatakan menjadi punca kepada masalah berkenaan apabila muncul ulser di bahagian bibir, gusi dan lidahnya sebelum berubah menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ialah berdasarkan laporan yang diterima daripada doktor, ia bukanlah lepuhan biasa, sebaliknya didiagnosis dengan penyakit ‘oral erythema multiforme’ iaitu sejenis keadaan kulit yang seakan-akan sama dengan alahan yang jarang dilihat di dalam dan di sekeliling mulut.

Penyakit yang dihadapi oleh wanita itu turut didokumentasikan di dalam Jurnal Laporan Kes Perubatan Antarabangsa, pada bulan lalu di mana ahli akademik menyatakan bahawa kadang-kadang keadaan itu boleh dicetuskan oleh bahan tertentu dalam rokok elektronik seperti propilena glikol, gliserin, nikotin, perasa atau toksin lain.

Terdahulu, wanita itu dilaporkan mendapatkan rawatan doktor di Jabatan Perubatan Mulut Universiti Indonesia selepas mengadu sakit mulut dan sakit sepanjang bulan lalu.

Selepas mendapatkan pemeriksaan, doktor mendapati terdapat kudis berkerak di bahagian dalam pipi, lidah, dalam mulut dan bibirnya.

Bagaimanapun, wanita itu menegaskan dia tidak menghisap rokok sebaliknya mendedahkan mula menghisap rokok elektronik beberapa kali sehari kira-kira setahun semata-mata kerana ingin tahu.

Bagaimanapun, nasibnya baik kerana doktor yang merawatnya menyatakan ia boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik dan menggunakan ubat sejuk.

Keadaan beransur pulih selepas menerima rawatan dalam tempoh seminggu.

Ia juga disifatkan sebagai kes ‘ringan’ dan perlu menggunakan ubat kumur steroid serta larutan pelembap untuk disapu pada bibirnya tiga kali sehari. Dalam tempoh seminggu, penyakit itu akan dapat diatasi.

Penyakit ‘erythema multiforme’

Penyakit ‘erythema multiforme’ biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria atau kulat dan menjejaskan sekitar 200,000 orang di Amerika Syarikat setiap tahun.

Ia juga kadangkala boleh disebabkan oleh beberapa vaksin atau ubat seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs), antibiotik, statin dan ubat untuk epilepsi.

Dianggarkan ia berlaku dalam kurang daripada satu peratus orang berusia 20 hingga 40 tahun, tetapi cenderung menjadi kronik dan mempunyai 37 peratus peluang untuk berulang.

Gejala yang diperhatikan seperti kulit menjadi merah dan merah jambu serta luka di mulut berupaya menyebabkan kegatalan atau menyakitkan serta sakit sendi, demam dan gatal-gatal.

Keadaan ini bukan saja boleh berlaku di bahagian mulut, tetapi boleh berlaku di seluruh badan. Ruam biasanya muncul pada tangan dan kaki, dan merebak ke perut, dada, belakang atau muka.

Dalam kes yang melampau, kemasukan ke hospital mungkin diperlukan jika pesakit tidak dapat makan, mengalami kesakitan yang melampau atau mengalami dehidrasi teruk.

Rokok elektronik kesan sama macam rokok

Rokok elektronik ini yang dipotretkan sebagai alternatif lebih selamat kepada rokok tradisional disifatkan mempunyai kesan yang sama seperti rokok sedia ada.

Susulan itu, industri vape ini mendapat kecaman sejak beberapa tahun kebelakangan kerana menyasarkan golongan belia dengan bahan pemasarannya selain kekurangan data jangka masa panjang bagaimana peranti itu boleh mempengaruhi kesihatan orang ramai.

Pegawai dan pengkritik turut berpendapat bahawa produk vape yang tidak terkawal sengaja direka untuk dipasarkan kepada orang muda dengan pembungkusan berwarna-warni dan perisa buah-buahan.

Sejak rokok elektronik ini diperkenalkan, ia dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan kesihatan, termasuk kerengsaan mulut dan tekak, mata, sesak nafas, keletihan dan kanser paru-paru. – Agensi

Bahana hisap vape mulut wanita penuh ulser hingga tak boleh makan
Bahana hisap vape mulut wanita penuh ulser hingga tak boleh makan

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss