KOTA BHARU: Susulan isu membabitkan pelajar menghisap rokok elektronik (vape) yang dicampur dengan dadah sintetik dikenali ‘magic mushroom’, kerajaan negeri Kelantan memaklumkan sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan JPN, minggu lalu untuk mengetahui jumlah pelajar yang terbabit dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah berkenaan.
Katanya kerajaan negeri turut meminta pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk mengumpul data dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
“Ia adalah perkara baharu yang kadang-kadang pelajar tidak tahu mengenai campuran dadah sintetik dikenali magic mushroom di dalam rokok elektronik sehingga menyerap masuk dalam institusi keluarga dan merosakkan negara serta masa depan mereka.
“Kerajaan negeri juga menubuhkan satu task force iaitu jawatankuasa khas sejak empat tahun lalu dalam menangani isu gejala sosial yang membabitkan 19 agensi kerajaan negeri serta Persekutuan dan dibahagikan kepada beberapa kluster,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks YIK di Tunjong di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika Sidang Dewan Rakyat memaklumkan kajian Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) terdapat 65 daripada 152 pelajar di Kelantan dikesan terbabit dalam salah guna dadah dengan mencampurkan cecair vape dan magic mushroom.
Menurut Saifuddin, penemuan awal oleh penyelidik dari HUSM yang membentangkan kajian ketika program Majlis Tindakan Negeri Kelantan baru-baru ini, jauh lebih menggerunkan berikutan jumlah besar itu.
Sumber: Buletin TV3