LONDON: Satu undang-undang baharu di seluruh United Kingdom (UK) yang bertujuan mewujudkan generasi bebas asap rokok pertama akan diperkenalkan di Parlimen negara itu hari ini sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengurangkan tekanan ke atas perkhidmatan kesihatan.
Rang Undang-Undang (RUU) Tembakau dan Vape yang menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2009 daripada merokok secara sah dengan menaikkan had umur minimum secara berperingkat untuk membeli produk tembakau.
RUU berkenaan adalah serupa dengan RUU yang pernah dicadangkan oleh pentadbiran Konservatif yang lalu di negara berkenaan.
Bagaimanapun, perundangan berkenaan terpaksa ditangguhkan pada awal tahun ini selepas bekas Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengumumkan pilihan raya umum (PRU) UK.
Kerajaan baharu yang dipimpin daripada Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer telah menghidupkan semula cadangan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan langkah pencegahan kesihatan.
RUU itu akan memperkenalkan sekatan ke atas pengiklanan dan penajaan vape, serta mengehadkan perisa, paparan dan pembungkusan rokok elektronik bagi mengurangkan tarikan kepada kanak-kanak dan golongan muda.
Langkah berkenaan adalah susulan daripada pengumuman pada Oktober lalu bahawa penggunaan akan diharamkan di UK pada tahun depan di bawah undang-undang berasingan.
RUU itu juga mencadangkan untuk memperluas larangan merokok sedia ada kepada kawasan luar seperti taman permainan kanak-kanak dan kawasan luar hospital.
Menurut Setiausaha Kesihatan UK, Wes Streeting, perkara berkenaan adalah undang-undang kesihatan awam yang bersejarah dan UK sedang mewujudkan generasi bebas asap rokok pertama di negara itu.
“Anak-anak yang membesar di UK hari ini tidak akan secara sah dapat membeli rokok,” katanya.
Bagaimanapun, Streeting berkata tiada larangan merokok akan dikenakan di pub di England.
Sementara itu, tokoh industri pub dan restoran mengkritik cadangan terbabit selepas cadangan itu dibocorkan pada Ogos lalu dengan alasan ia mungkin menghalang pelanggan dalam pasaran yang sudah terjejas oleh kesan jangka panjang daripada pandemik dan tekanan kos sara hidup.
Katanya, sektor hospitaliti UK telah mengalami tekanan yang hebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan tidak mahu menambah tekanan itu.
Tambah Streeting, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan larangan hospitaliti luar pada masa ini.
England, Wales, dan Ireland Utara mengharamkan merokok di tempat awam tertutup dan tempat kerja pada 2007 selepas larangan serupa dilaksanakan di Scotland pada 2006.
Badan amal ‘Action on Smoking and Health’ menyatakan terdapat pengurangan sebanyak 2.4 peratus dalam kemasukan ke hospital bagi serangan jantung di England setahun selepas larangan berkenaan dilaksanakan dan menjimatkan berjuta-juta pound kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang dibiayai oleh negara.
Sumber: Berita Harian