Kota Bharu: Jadikan Malaysia sebagai transit bagi penyeludupan rokok putih seludup ke Sri Lanka menggunakan khidmat kargo laut.
Itu antara kegiatan jenayah dilakukan sindiket yang berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan susulan rampasan lebih 6.2 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai hampir RM4.2 juta disyaki rokok di dua lokasi berasingan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan pertama dilakukan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor manakala rampasan kedua pula di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu di sini.
Katanya, secara keseluruhannya jumlah rampasan itu bernilai RM696,564 dengan anggaran cukai RM4.2 juta.
Beliau berkata, dalam operasi pertama pada 4 November lalu, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu, JKDM Kelantan dan dibantu Container Control Unit Pelabuhan Klang, Selangor menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.
“Hasil pemeriksaan dilakukan pada kontena menemui 600 peti rokok putih atau enam juta batang rokok yang dipercayai untuk diimport ke pasaran Sri Lanka.
“Modus operandi adalah mengikrar dagangan dengan maklumat palsu di Pelabuhan Klang menggunakan perkhidmatan penghantaran secara kargo,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, di sini, semalam.
Menurutnya, sindiket masuk melalui Kemboja dan transit di negara ini sebelum bekalan rokok berkenaan dihantar ke negara ketiga iaitu Sri Lanka.
“Walaupun bagaimanapun, tidak ada tangkapan yang dibuat dan kes masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi kedua yang dilakukan pada 10 November lalu, JKDM Kelantan turut berjaya menahan tiga van di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.
“Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga van itu menemui 254,800 batang rokok seludup bernilai RM36,564 yang disyaki menggunakan setem cukai palsu.
“Rokok putih berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar melalui jalan darat menggunakan lori untuk pasaran Pantai Timur khususnya Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu van yang berusia di antara 30 hingga 47 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sumber: Harian Metro