TEG horizontal logo 2

Perhebat agenda selamatkan kanak-kanak ketagih vape, rokok

Hari ini amat istimewa bagi setiap warganegara kerana kita meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 bertemakan ‘Bagi setiap kanak-kanak, ada haknya’. Antara hak paling utama kanak-kanak adalah kesihatan, pendidikan berkualiti dan perlindungan daripada pengaruh berbahaya.

Hari ini, salah satu ancaman paling bahaya kepada kesejahteraan kanak-kanak adalah peningkatan penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja.

Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang baru dilaksanakan pada 1 Oktober lalu, menyediakan rangka kerja undang-undang sangat penting untuk menangani isu ini.

Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi sebaliknya kita perlu memanfaatkan pendidikan dan media sosial sebagai sekutu kuat dalam perjuangan ini.

Penggunaan vape mendapat populariti membimbangkan dalam kalangan remaja, ditambah lagi dengan tempoh masa banyak dihabiskan golongan muda di media sosial.

Platform ini bukan sekadar saluran untuk berhubung, tetapi medan pertempuran yang mana kesihatan anak muda kian terancam. Industri tembakau, dengan sejarahnya mensasarkan golongan rentan, kini menggunakan media sosial untuk menarik pengguna muda ke dalam kitaran ketagihan nikotin.

Kajian mengaitkan penggunaan vape dengan masalah kesihatan teruk, seperti masalah pernafasan, penyakit jantung dan kemerosotan kognitif.

Golongan muda yang mula menggunakan vape sering kali berisiko beralih kepada rokok tradisional atau menjadi pengguna kedua-dua produk. Ini meningkatkan lagi risiko ketagihan jangka panjang.

Sifat ketagihan nikotin boleh mempengaruhi perkembangan otak remaja, termasuk tumpuan, ingatan dan pengawalan mood. Tanpa intervensi tepat pada masanya, kesan fizikal dan mental akibat vape boleh menyebabkan cabaran sepanjang hayat.

Isu ini turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menyarankan penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Kajian menunjukkan pendedahan kepada kandungan pro-vape di media sosial berkait langsung dengan peningkatan penggunaannya dalam kalangan belia.

Bagi menghadapi cabaran ini, media sosial turut menawarkan peluang baik untuk mendekati golongan muda. Kajian menunjukkan keberkesanan kempen anti-vaping disasarkan di media sosial.

Satu kempen selama 60 hari di platform seperti Facebook dan Instagram berjaya mengubah sikap golongan muda terhadap penggunaan vape, dengan peserta melaporkan niat lebih rendah untuk menggunakannya dan meningkatnya ketidakpercayaan terhadap industri tembakau.

Kerjasama dengan pempengaruh popular yang menyokong kehidupan sihat tanpa vape dapat memperkuat mesej ini. Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting.

Sekolah perlu memasukkan pelajaran komprehensif bahaya vape dalam program kesihatan mereka, sambil menggunakan media sosial menjangkau pelajar di luar bilik darjah.

Pembuat dasar mesti melaksanakan peraturan ketat terhadap pengiklanan media sosial dan memantau pemasaran pempengaruh untuk melindungi golongan muda secara berkesan.

Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 hari ini, marilah kita menghormati komitmen untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat pengetahuan dan sumber daya membuat keputusan bijak kesihatan mereka. Selain pendidikan, kanak-kanak perlu membina ketahanan untuk berkata ‘TIDAK’ kepada vape walaupun terdapat tekanan dari rakan, keluarga atau komuniti.

Marilah kita bersatu melindungi hak setiap kanak-kanak kepada masa depan yang bebas daripada risiko vape dan ketagihan nikotin. Bersama-sama, kita dapat memperjuangkan hari esok lebih selamat dan sihat setiap kanak-kanak mengikut haknya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss