TEG horizontal logo 2

Johor kekal larang jual vape

ISKANDAR PUTERI: Johor kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape atau rokok elektronik di negeri ini.

Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata keputusan itu kekal dikuatkuasakan di negeri ini sejak 2016.

Katanya, larangan sejak lapan tahun itu masih terpakai membabitkan jual beli vape termasuk perisanya sama ada dalam bentuk gel atau cecair, khususnya yang mengandungi nikotin dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tidak mengeluarkan lesen perniagaan jenis berkenaan.

“Sehingga hari ini, PBT di Johor kekal tidak beri lesen penjualan vape dan rokok elektronik.

“Johor masih terus menguatkuasakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Pada 1 Januari 2016, Johor dilaporkan menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan.

Ia susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan

penggunaan vape diharamkan di seluruh negeri itu selain pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi.

Pada 19 November lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.

Beliau dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui PBT.

Minggu lalu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan menyarankan supaya penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Baginda dilaporkan bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss