ISKANDAR PUTERI: Tiada sebarang lesen penjualan vape atau rokok elektronik dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu, Mohd Jafni Md Shukor berkata, keputusan tidak membenarkan penjualan vape kekal dikuatkuasakan di negeri itu sejak 2016.
Menurut beliau, larangan sejak lapan tahun itu masih terpakai melibatkan jual beli vape termasuk perisanya sama ada dalam bentuk gel atau cecair, khususnya yang mengandungi nikotin, lapor Sinar Harian.
“Sehingga hari ini, PBT di Johor kekal tidak beri lesen penjualan vape dan rokok elektronik.
“PBT di negeri ini masih menguatkuasakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik,” katanya semasa sidang media di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad (24 Nov), dipetik daripada agensi berita Sinar Harian.
Pada 1 Januari 2016, kerajaan negeri itu menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape, termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti tersebut ekoran perintah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang kegiatan tersebut di negeri itu.
Pada 19 November lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan tersebut akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui PBT.
Minggu lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan menyarankan supaya penggunaan vape diharamkan sepenuhnya.
Sultan Pahang itu dilaporkan berkata, saranan itu dibuat susulan kebimbangan beliau terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang, terutama sekali dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Sumber: Mediacorp