TEG horizontal logo 2

Bersatu Pahang sokong haram vape secara total

JASRI Jamaludin (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menerima mengadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang daripada Perikatan Nasional (PN) di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

MARAN: Pengharaman rokok elektronik atau vape secara total merupakan langkah progresif demi meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya anak muda dan mencorak masa depan lebih sihat serta bebas ancaman bahan berbahaya.

Wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Jasri Jamaludin berkata, penggunaan rokok elektronik bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada pengguna vape tetapi juga menjejaskan kesihatan orang sekeliling sebagai perokok sekunder.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Maran berkata, berdasarkan kajian, cecair vape mengandungi lebih 60 bahan kimia berbahaya seperti formaldehid, akrolein dan logam berat yang boleh merosakkan paru-paru dan kardiovaskular.

“Data terkini Kementerian Kesihatan mendedahkan peningkatan prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja, yang mana 9.1 peratus pelajar sekolah menengah telah mencuba vape, 5.7 peratus menggunakannya secara aktif.

“Bersatu Pahang menjunjung kasih atas kecaknaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat, terutama dalam melindungi generasi muda daripada bahaya ketagihan nikotin yang berpunca daripada vape. Kami menyokong sepenuhnya usaha untuk melaksanakan pengharaman vape secara total di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Isnin lalu, Al-Sultan Abdullah menyarankan kerajaan mengharamkan secara total penggunaan vape yang dilihat menjadi salah satu punca yang membawa kepada penagihan dadah.

Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, Bersatu Pahang mencadangkan pendidikan bahaya rokok elektronik dimasukkan dalam kurikulum sekolah sebagai pendedahan awal kepada pelajar.

“Program kesedaran ini harus diperhebatkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, melibatkan modul interaktif, ceramah, serta kempen kesedaran yang konsisten,” katanya.

Selain itu beliau berkata, turut dicadangkan penubuhan klinik berhenti vape di seluruh negara bagi menawarkan khidmat kaunseling dan terapi gantian nikotin yang terbukti membantu perokok berhenti secara berkesan.

“Bersatu Pahang turut mencadangkan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok 2004 (Akta 852). Akta ini yang telah diperluas untuk mengawal penggunaan, pengiklanan dan penjualan vape adalah asas kukuh untuk merealisasikan pengharaman ini. Denda hingga RM50,000 kepada pelanggar undang-undang boleh menjadi langkah pencegahan berkesan. Kerajaan juga perlu memperluaskan zon larangan merokok dan vape di kawasan awam,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pengharaman vape secara total pasti akan memberikan kesan kepada pekerja dalam sektor tersebut.

“Namun, peralihan kepada industri baharu seperti penghasilan produk terapi gantian nikotin, peralatan perubatan dan teknologi kesihatan dapat mengurangkan impak ekonomi,” katanya.

Menurutnya, pengharaman rokok elektronik secara total perlu dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh yang mempertimbangkan kesan ekonomi, sosial, dan kesihatan awam.

“Data dari Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa kematian berkaitan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit paru-paru kronik dan jantung, yang sering dikaitkan dengan merokok, menyumbang kepada hampir 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia pada 2022. Justeru, titah Tuanku Sultan Pahang adalah titik permulaan penting ke arah kesihatan dan kestabilan generasi akan datang.

“Kami menyeru semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, dan institusi pendidikan untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini demi melindungi kesihatan rakyat dan mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya. 

Sumber: Utusan

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss