TEGA bantah persatuan yang mahu vape terus dijual kepada Generasi Muda
Tobacco End Game Alliance (TEGA) membantah mana-mana persatuan dan industri vape yang ingin terus menjual rokok elektronik dan vape kepada golongan muda di negara kita.
Semalam, beberapa persatuan vape mengemukakan memorandum bagi memohon kerajaan mempertimbangkan perbezaan peraturan larangan penjualan dan penggunaan vape daripada rokok.
Mereka juga mendakwa suara mereka tidak diambil perhatian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walhal mereka telah pun terlibat dalam beberapa sesi libat urus yang diadakan antara KKM dan pihak industri sebelum ini.
Pihak TEGA melihat bantahan mereka terhadap peraturan baru ini hanyalah semata-mata kerana mereka ingin meneruskan cara penjualan sedia ada yang bebas tanpa kawalan dan peraturan.
Istilah vaping atau dalam Bahasa Melayu dipanggil mengevap merupakan proses menyedut wap berperisa daripada vap ke dalam mulut sebelum menghembuskannya keluar.
Tabiat ini sama sepertimana apabila seseorang itu merokok. Yang bertukar hanyalah alat yang dirokok, iaitu daripada rokok tembakau kepada rokok elektronik yang terdiri daripada peranti dan cecairnya. Malahan kandungan utama bahan di dalam kedua-dua produk merokok ini tetap sama iaitu nikotin, bahan kimia beracun yang terbukti menyebabkan ketagihan.
Selain itu, industri juga mempunyai agenda yang kini tidak lagi dapat disembunyikan iaitu mensasarkan penjualan vape terhadap golongan muda terutamanya yang di bawah umur.
Ini adalah modus operandi mereka bagi memastikan perniagaan vape mereka dapat hidup berpanjangan selamanya melalui perekrutan generasi baru yang ketagih dengan nikotin
Industri usahlah bermadah pujangga lagi. Jika industri ikhlas hanya mensasarkan golongan perokok sedia ada untuk beralih kepada vape, sepatutnya mereka menyokong akta yang akan dibentangkan ini.
Akta baru yang akan diperkenalkan ini bukan sahaja akan melindungi golongan Generasi Penamat (Generational End Game-GEG) bahkan juga para perokok dan pengevap sedia ada.
Akta baru akan mengawalselia cara peranti dan cecair vape dihasilkan agar ia lebih selamat, dijual dengan cara yang betul, sekatan terhadap produk-produk seludup dan yang paling penting terdapat larangan penjualan dan pemilikan terhadap kumpulan GEG.
Bukankah ia langkah-langkah yang menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan umum buat generasi yang akan datang?
TEGA membantah sebarang usaha membezakan peraturan ke atas rokok dan vape atau apa-apa produk merokok baharu yang muncul pada masa akan datang. Tabiat adalah sama, cara promosi pun sama, cara penjualan pun sama, bahkan komplikasi penggunaan pun sama.
TEGA menasihatkan agar kerajaan usah membuang masa dan sumber bagi merangka satu undang-undang khas hanya semata-mata untuk satu jenis produk yang sebenarnya sama pada hakikat dan sifatnya dengan produk merokok yang lain.
13 JULAI 2022
#SupportGenerationEndGame
Malaysia Green Lung Association
IKRAM Health Malaysia
Medical Mythbusters Malaysia
Public Health Malaysia