TEG horizontal logo 2

Industri Vape Terpaksa Menghentikan Perniagaan jika Akta Tidak Lulus

Persatuan serta usahawan-usahawan yang mengusahakan Rokok Elektronik dan Vape kini sangat mengharapkan ahli parlimen akan dapat memberikan sokongan penuh kepada Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang baharu ini agar membolehkan industri mereka dapat diteruskan.

Perniagaan mereka yang kini berada dalam keadaan tergantung kerana tiada kawalselia serta regulasi terhadap produk vape mereka bakal berdepan pengharaman penuh jika akta ini gagal diluluskan.

Hal demikian kerana hampir 99% produk cecair rokok elektronik dan vape yang mereka sedang jual di pasaran kini mempunyai Nikotin yang mana ia dikawalselia di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984).

Menurut akta ini, sebarang persediaan yang mengandungi nikotin adalah Racun Kumpulan C yang dikawal di bawahnya.

Oleh yang demikian, pembekalan dan penjualan persediaan yang mengandungi Nikotin hanya dibenarkan oleh pengamal perubatan berdaftar dan ahli farmasi yang berlesen bagi tujuan rawatan perubatan.

Industri vape mengakui bahawa mereka selama ini sedang melanggar undang-undang sejak lima tahun lepas kerana menjual produk-produk cecair yang mengandungi nikotin tanpa kebenaran.

Namun, mereka tidak dapat mengelak daripada menjualnya kerana produk mereka tidak akan laris dalam menarik pelanggan tanpa adanya kandungan nikotin.

Perniagaan mereka juga tergantung daripada menyumbang pendapatan kepada negara kerana penjualan produk-produk mereka ini tidak dapat dicukaikan akibat masih berada di bawah larangan Akta Racun 1952 tersebut.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di dalam Belanjawan 2021 menyatakan bahawa kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter ke atas cecair rokok elektronik berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Duti eksais ini akan dikenakan ketika pengimportan dan pelepasan daripada pengilang tempatan.

Meskipun ditentang keras oleh pakar-pakar kesihatan dan perubatan serta pertubuhan bukan kerajaan kerana ia memberi tanda kerajaan telah menghalalkan rokok elektronik dan vape, langkah sedemikan terpakasa diambil bagi mengawalselianya industri yang telah lama berkembang luas.

Oleh itu, isu berkaitan pengenaan duit eksais yang terhalang ini akan dapat diselesaikan apabila wujudnya akta yang baharu ini.

Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok ini akan membuka peluang kepada pemain industri vape untuk menjalankan perniagaan mereka secara sah disamping memberi keuntungan besar terhadap kutipan cukai kerajaan.

Akta ini akan dapat melindungi mereka daripada kemasukan produk-produk peranti vape yang tidak dikawal daripada segi kualiti dan keselamatannya serta cara penjualan yang sah terhadap golongan yang sepatutnya.

Selain itu, akta ini juga dapat membantu mereka dalam mengekang produk-produk cecair vape yang tidak berkualiti, memudaratkan serta berbahaya kerana mengandungi bahan-bahan yang tidak sepatutnya seperti dadah terlarang.

Oleh hal yang demikian, akta ini sangat penting untuk para persatuan serta usahawan rokok elektronik dan vape kerana ia akan memberi kelangsungan nyawa kepada mereka untuk terus hidup secara sah di seluruh negara tanpa ada keraguan serta masalah lagi.

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss