TEG horizontal logo 2

Ahli Parlimen digesa tunai janji RUU Kawalan Produk Merokok, GEG

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan tidak menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG).

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata walaupun sidang Parlimen Kelima Belas 2023 sudah bermula, RUU berkenaan masih belum kelihatan dalam Aturan Utama Mesyuarat (AUM).

Aktivis anti-merokok dan vape itu berkata berdasarkan ‘Code Blue’ pada Jumaat lalu, Jemaah Menteri meluluskan RUU berkenaan dengan peruntukan GEG dibentangkan bagi bacaan pertama .

“Namun CAP mendesak pembentangan RUU itu dengan peruntukan GEG bukan sahaja dibuat pada bacaan pertama malah perlu diteruskan dengan bacaan kedua dan seterusnya diluluskan.

“Jika benar berita yang diuar-uarkan oleh Code Blue, maka Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perlu menunaikan janjinya bagi membawa RUU ini ke Parlimen.

“Kini rakyat ingin melihat keikhlasan Ahli Parlimen pula bagi meluluskannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Subbarow berkata adalah membimbangkan apabila terdapat desas desus RUU itu dibawa sekali lagi ke Jawatankuasa Khas Parlimen.

Sekiranya ia benar, beliau berkata, RUU itu tidak akan dapat diluluskan pada sidang Dewan Rakyat pada Mei atau Jun dan implikasi kepada kelompangan undang-undang juga akan berterusan.

“CAP berasa sangat kecewa sekiranya RUU ini diminta bagi diteliti sekali lagi oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.

“Apa lagi yang hendak dibincangkan? Bukankah ia sudah dibincangkan secara panjang lebar ketika Jawatankuasa Khas yang lalu? Jadi CAP mendesak supaya rujukan ke Jawatankuasa Khas ini diteliti semula,” katanya.

Subbarow berkata dapatan kajian terkini iaitu Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022 pada 18 Mei lalu mendapati penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini melonjak daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus bagi 2022 dengan pertambahan sebanyak sembilan peratus perokok.

“Adakah kita terus pekakkan telinga serta butakan mata dengan menyaksikan lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah ketagihan vape sekali gus mengancam kesihatan serta masa depan mereka?

“Justeru, sebagai Ahli Parlimen yang diberi tanggungjawab, mesti tunaikan janji anda bagi membela rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss