TEG horizontal logo 2

Akta 852 belum mampu bendung penjualan vape dalam talian

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak 1 Oktober lalu masih gagal membendung penjualan rokok elektronik atau vape secara dalam talian yang terus berleluasa.

Perkara itu didedahkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), yang mendakwa pelbagai helah digunakan peniaga dalam talian bagi mengelakkan kegiatan mereka ‘dihidu’ pihak berkuasa.

“Saya baru saja beli vape dalam bentuk seperti ‘toy’ (mainan kanak-kanak) secara dalam talian. Saya beli selepas penguatkuasaan Akta 852, mulai 1 Oktober lalu.

“Saya percaya ramai kanak-kanak tertarik kerana ada pelbagai bentuk, malah ada yang dibuat seperti bentuk bekas makanan…baunya juga sedap.

“Contohnya, di platform Shopee, sungguh pun sudah ada akta, masih ada yang jual.

“Kalau buat carian dengan taip perkataan vape, tidak akan ada tetapi mereka menggunakan helah lain, ejaannya ditukar kepada wape,” katanya dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, walaupun akta itu merangkumi semua aspek penting daripada peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan hingga kepada larangan merokok di tempat awam, namun ia hanya akan dapat dikuatkuasakan secara berkesan sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan kepada tiga langkah penting.

“Saya mengakui akta sedia ada ini sudah cukup menyeluruh. Namun, pada saya jika hendak pastikan ia dapat dilaksanakan secara berkesan, tiga perkara penting perlu diberi tumpuan iaitu penerangan secukupnya kepada orang ramai, memantapkan dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan.

“Saya juga mencadangkan KKM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung kanak-kanak daripada terbabit dalam amalan merokok,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapannya berkata, kementerian itu menyediakan Pelan Advokasi Lima Tahun bagi melindungi golongan bukan perokok terutamanya kanak-kanak dan remaja supaya tidak memulakan tabiat merokok dan kekal tidak merokok sepanjang hayat mereka.

“Pelan ini juga membantu golongan perokok agar berhenti merokok dengan mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan. Hasrat ini dapat dicapai dengan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun pihak swasta, melalui prinsip ‘whole of nation approach’,” katanya.

Mengenai langkah advokasi, Dr Dzulkefly berkata, sehingga 3 November lalu, KKM melakukan pemantauan membabitkan 56,517 premis.

“Kita lawati premis dan turut memberikan penerangan (mengenai bahaya merokok). Langkah ini dilaksanakan walaupun kita menghadapi kekangan dari segi anggota penguatkuasa yang ketika ini seramai 21,165.

“Dalam operasi ini kita tidak kompaun, sebaliknya hanya beri pendidikan kepada orang awam,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss