TEG horizontal logo 2

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 di peringkat akhir kelulusan Jabatan Peguam Negara

GUA MUSANG : Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan ini, masih di peringkat akhir mendapatkan kelulusan Jabatan Peguam Negara, sebelum boleh dikuatkuasakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata proses bagi melaksanakan dan menguatkuasa akta itu akan tetap diteruskan.

“Insya-Allah masih peringkat terakhir dah ni, apa yang kita katakan sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 peraturan dan perintah sudahpun diangkat kepada Jabatan Peguam Negara.

“(Apabila) semua siap nanti, kami benar berharap bulan ini kita akan dapat laksanakan akta ini,” katanya ditemui media selepas Kem Kesihatan Minda, Kunci Kesejahteraan Warga Emas, di Jeram Tekoh, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), bulan ini.

Antara peraturan yang termaktub mengikut akta itu termasuk pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.

Peraturan dan perintah yang akan dikuatkuasakan itu termasuk rokok elektronik.

Sebelum ini, beberapa pihak yang mempersoalkan kelewatan penguatkuasaan Akta 852 yang masih lagi tertangguh pelaksanaannya, termasuk daripada pihak Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

Akhir Jun lalu, Presiden MPS, Amrahi Buang, berkata penguatkuasaan akta terbabit sepatutnya bermula awal Jun tetapi masih belum dilaksanakan kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan halangan sebenar penguatkuasaan akta terbabit, yang didakwa masih ‘tersangkut’ di pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss