TEG horizontal logo 2

Aktivis kesihatan bimbang syarikat vape sasarkan kanak-kanak

Pakar kesihatan dan aktivis menyatakan kebimbangan masing-masing terhadap penjual vape yang didakwa menyasarkan kanak-kanak untuk memasarkan produk mereka.

Perkembangan itu berlaku selepas kerajaan mengecualikan nikotin cecair daripada Akta Racun bermula 1 April lalu yang didakwa menyebabkan lebih ramai belia menggunakan vape.

Menurut Azrul Mohd Khalib dari Galen Centre, ada pengeluar vape didapati mengedarkan sampul wang Aidilfitri dengan memaparkan iklan rangkaian pod pakai buang dan perisa syarikat terbabit.

Hal itu membimbangkan kerana sampul wang sebegitu biasanya diagihkan kepada kanak-kanak semasa musim perayaan.

“Apa yang mungkin berlaku antara 1 April apabila nikotin untuk vape dan e-rokok dikecualikan sehingga bila-bila rang undang-undang (RUU) itu sepatutnya dibentangkan pada Mei atau Jun?

“Hmm… mari kita tengok siapa nak dapat sampul raya ni? Budak-budak.

“Jadi siapa target marketing (sasaran pemasaran) yang jelas tunjuk vape & megahnya 10,000 puffs?” ciapnya di Twitter.

Ketika dihubungi kemudian, Azrul yang merupakan ketua pegawai eksekutif dasar kesihatan dan sosial pusat itu menjelaskan bahawa prinsip pemasaran dalam kes itu adalah mudah.

Menurutnya, lebih banyak pengeluar vape dilihat menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran mereka dalam memasarkan pod pakai buang dan ia merupakan taktik digunakan oleh beberapa syarikat tembakau sebelum ini.

“Anda menyasarkan pengiklanan ke arah pangkalan potensi pengguna anda. Kanak-kanak menerima sampul raya, orang dewasa yang memberinya.

“Apa pun, kami melihat lebih banyak produk vape disasarkan kepada kanak-kanak kerana ia direka dengan jelas dengan cara, bentuk, warna, perisa dan pemesejan,” katanya.

Mengikut sejarah, kata Azrul lagi, ada syarikat tembakau menafikan mereka menyasarkan kanak-kanak namun ada kenyataan dari Philip Morris pada 1981 yang menegaskan “remaja hari ini adalah potensi pengguna tetap masa depan.”

Kebimbangan yang sama dinyatakan Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan.

Akan lebih berleluasa

Bercakap kepada Malaysiakini, Murallitharan berkata MCTC menerima banyak aduan daripada ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang menggunakan vape khususnya selepas nikotin cecair dikecualikan daripada Akta Racun.

“Sebaik saja menteri kesihatan mengeluarkan nikotin cecair daripada akta itu, sah bagi syarikat vape untuk (secara terbuka) mempromosikan produk mereka.

“Dan sudah tentu mereka menyasarkan, seperti yang anda lihat dari sampul duit raya… anda dapat idea. Ia adalah sesuatu yang akan berlaku… bahkan sebenarnya ini akan menjadi lebih berleluasa sebab ia sudah sah (tidak lagi dilarang undang-undang).

“(Bagi pengeluar vape) mereka boleh gunakan apa saja strategi pemasaran dan promosi yang mereka mahu… tak ada masalah,” katanya.

Menurut Murallitharan antara aduan yang banyak diterima MCTC ialah mengenai pembabitkan kanak-kanak dengan vape seawal usia 7 tahun.

Doktor perubatan yang juga Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia itu menyatakan keraguannya terhadap janji kerajaan untuk menggubal RUU kawalan tembakau dalam masa terdekat.

Katanya kerajaan menggunakan kutipan cukai sebagai alasan untuk tergesa-gesa membuat pengecualian nikotin cecair tersebut, kononnya agar tidak kehilangan hasil, dan berjanji untuk membentangkan undang-undang kawalan tembakau secepat mungkin.

“Tetapi lucunya ialah, pendaftaran baru saja dibuka (oleh kerajaan) untuk mendaftarkan syarikat yang pengeluar produk vape.

“Jadi apa gunanya mereka tergesa-gesa mengecualikan nikotin daripada kawalan, tetapi anda masih belum boleh mengutip sebarang cukai lagi?

“Apabila kami berjumpa dengan Kementerian Kewangan, mereka kata kerajaan akan dapat mengumpul RM1 bilion atau sekurang-kurangnya ratusan juta setahun daripada vape, tetapi semua ini adalah nombor ajaib yang mereka petik dari langit kerana mereka tidak tahu berapa banyak pengilang dan jumlah pengeluaran yang ada sekarang,” katanya.

Murallitharan menambah MCTC akan menunggu untuk melihat sama ada kerajaan akan benar-benar memenuhi janji mereka untuk membentangkan RUU kawalan tembakau apabila parlimen kembali bersidang bulan depan.

“Maafkan kami kalau kami agak pesimis. Kami tak percaya sebenarnya, tapi kami tetap berharap, sebab kami telah menunggu RUU ini dibentangkan sejak 2003 lagi,” katanya.

Sumber: Malaysia Kini

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss