TEG horizontal logo 2

Apabila vape jadi kaedah perubatan 

Suhazeli Abdullah

KUALA LUMPUR: Penggunaan vape yang dikatakan sebagai kaedah perubatan untuk berhenti merokok telah meraih kontroversi, namun kerajaan Australia dilaporkan telah meluluskannya, dengan syarat ia perlu mendapat preskripsi dari doktor atau perawat yang berdaftar bermula 1 Oktober 2021.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah dalam mengulas perkembangan tersebut mengibarat perkara tersebut dengan perumpamaan ‘diberi betis nak paha’ terhadap kelulusan penggunaan vape sebagai kaedah perubatan di negara kanggaru itu.

Katanya, setelah lebih dua tahun akta itu berjalan, sekali lagi kerajaan Australia mengubah Akta penggunaan vape bagi mereka yang ingin berhenti merokok. 

Menurut beliau, pindaan akta ini bertitik tolak kerana kajian terkini menunjukkan hampir separuh daripada kajian dalam kalangan remaja (15 hingga 30 tahun) didapati mereka telah mencuba vape. 

Namun kongsi beliau, berdasarkan fakta semasa adalah lebih menyedihkan apabila hanya tujuh peratus sahaja yang mendapatkan vape melalui preskripsi doktor.

Justeru katanya, mulai 1 Januari 2024, import vape sekali pakai (disposable atau single-use vape) ke Australia telah dilarang sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengurangkan penggunaan vape, terutama dalam kalangan golongan muda. 

“Ini menunjukkan mereka terlalu bermudah-mudah untuk meluluskan akta tanpa melihat kesan penggunaan secara berleluasa dalam kalangan rakyat.

“Royal Australian College of General Practitioners (RACGP) telah mengeluarkan garis panduan sementara untuk membantu doktor umum berdaftar (GP) mengaplikasikan perubahan besar ini,” katanya dalam satu kenyaataan.

Menurut beliau, ditegaskan sekali lagi bahawa Produk Vape Bernikotin (NVP) masih lagi menjadi isu kesihatan global; dan kerajaan wajib berhati-hati jika ada pihak bermati-matian menjadikan NVP sebagai salah satu dari kaedah berhenti merokok. 

“Sehingga kini penggunaan NVP tidak diketahui kesan jangka panjang penggunaan NVP ini. (Juga) Terdapat produk vape yang tidak berdaftar di bawah mana-mana badan penyeliaan, menyebabkan tidak diketahui keberkesanan keselamatan dan kualiti produk-produk berkenaan.

“Selain itu, tiada keseragaman bahan kandungan dan jumlah nikotin yang terdapat di dalam NVP,  menyebabkan ketidakpastian dalam penggunaannya sama ada memberikan kesan yang optimum ataupun tidak terhadap pesakit.

“Malah, bagi mendapatkan manfaat yang maksima dan mengurangkan mudarat vape, tidak ada satu kaedah pemantauan yang lebih komprehensif bagi mengelakkan penggunaan dual (menggunakan keddua-dua rokok dan vape) dalam kalangan pesakit.

“Sementara bagi pesakit yang memilih untuk menggunakan vape secara berpanjangan melebihi dari garis panduan iaitu enam bulan, tidak diketahui kesan jangka panjang,” jelasnya.

Tambah Suhazeli, sesuai dengan konsep hukum yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai penggunaan vape, iaitu untuk mengelakkan mudarat lebih besar pada satu ketika nanti, sebaiknya penggunaan Vape Bernikotin tidak dibenarkan. 

“Dalam masa sama, jangan sesekali membenarkan ruang-ruang ‘pintu fitnah’ (Saadu zaraik) sehingga mungkin keburukan yang lebih besar yang akan berlaku pada satu masa nanti kalau kita memberi kebenaran dan merasionalisasikan penggunaan vape ini. 

“Jika sudah menjadi rasional dan normalisasi dek kerana mengikut trend anak muda, dibimbangi pada satu ketika nanti amat sukar untuk kita membuat penegasan akta dan hukum, akibat daripada kita terlalu bermudah-mudah pada masa sekarang,” katanya.

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss