TEG horizontal logo 2

Bacaan kedua RUU kawalan produk merokok bulan depan, isu kompaun dijangka dapat bantahan

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bergambar pada Mesyuarat Persediaan Persidangan Antara Parti Ke-10 dan Sesi Ketiga Mesyuarat Protokol Menghapuskan Perdagangan Haram Produk Tembakau di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Isu kompaun dan kuantum denda dijangka mendapat bantahan segelintir Ahli Parlimen pada bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata ia kerana ada dalam kalangan wakil rakyat itu berpandangan bahawa generasi muda yang menggunakan produk berkenaan hanya perlu dinasihati atau dikenakan hukuman seperti khidmat komuniti.

“Bagi saya apa pun yang terbaik ialah kita selesaikan masalah ini dan membentangkan (RUU ini) pada Oktober ini dan mendapatkan persetujuan daripada semua Ahli Parlimen.

“Sudah tentu akan ada yang tidak bersetuju, antaranya mengenai kompaun kerana ada berpandangan anak-anak ini tidak perlu dikompaun, mereka hanya perlu dinasihati, kalau ada kesalahan merokok, hanya diberikan khidmat komuniti… itu ada pelbagai pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Persediaan Persidangan Antara Parti Ke-10 dan Sesi Ketiga Mesyuarat Protokol Menghapuskan Perdagangan Haram Produk Tembakau di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, pengurangan kadar denda kepada RM500 berbanding RM5,000 dalam draf awal, adalah antara enam pindaan dibuat terhadap RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Menerusi RUU baharu itu, kuasa penguatkuasaan luas seperti diperuntukkan dalam draf terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk.

Bagaimanapun, pada 12 Jun lalu, RUU terbabit dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dan ia adalah kali kedua RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.

Ia selepas ahli JKPK Kesihatan, selain Ahli Parlimen, badan profesional serta badan bukan kerajaan (NGO) mahukan beberapa perkara di bawah RUU terbabit dinilai dan diperincikan lebih lanjut.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, JPKP bermesyuarat petang ini untuk memuktamadkan hasil dapatan berkaitan RUU berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba mencari jalan penyelesaian tuntas supaya bacaan kedua RUU terbabit dapat dibentangkan dengan lancar pada bulan depan.

“Kita terbuka dengan sebarang pindaan yang mereka cadangkan

kerana ada yang mungkin melihat dari sudut kompaun dan sebagainya kerana bagi mereka itu adalah penting.

“Namun, kita akan melihat sama ada cadangan itu boleh atau sebaliknya dan kita cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss