SEGAMAT: Taktik licik tiga beranak menjual campuran cecair ganja dalam botol cecair vape akhirnya terbongkar.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kegiatan tiga beranak berkenaan tumpas hasil risikan berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menahan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 24 tahun di rumah mereka di sekitar Paya Pulai, di sini kira-kira pukul 5 petang, 15 Julai lalu.
“Dalam pemeriksaan di rumah pasangan itu, kita menemukan satu plastik lutsinar disyaki serbuk methamphetamine anggaran seberat 0.80 gram bernilai RM180 dan 28 botol cecair vape bercampur cecair ganja bernilai RM5,600 mengandungi antara 10 hingga 70 mililiter (ml).
“Pada hari yang sama, pasangan itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Buloh Kasap sehingga membawa kepada penangkapan lelaki berusia 49 tahun yang juga bapa suspek lelaki pada pukul 9.45 malam,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Superintenden Ng Swie Chait.
Pihak polis turut merampas 58 botol cecair vape dipercayai campuran jus ganja dan menemukan serbuk methamphetamine.
“Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut, polis menemukan 31 botol cecair vape bercampur cecair jus ganja dengan berat kasar tiap botol antara 10 sehingga 190 ml dengan anggaran nilai RM6,240.
“Rampasan keseluruhannya berjumlah RM11,840 di kedua-dua kediaman terbabit,” katanya sambil memaklumkan cecair tersebut diedarkan kepada para penagih, pelajar dan orang awam yang ingin mencuba perisa istimewa (resepi rahsia) di sekitar daerah ini.
Kegiatan menjual cecair vape di pusat hiburan atau kepada individu mengikut permintaan itu mula aktif sejak beberapa bulan lalu.
“Suspek menyuntik cecair jus ganja ke dalam botol cecair vape sebelum ditutup semula. Difahamkan sebotol cecair vape dicampur jus ganja ini berharga lebih RM240, manakala yang kurang berkemampuan ditawarkan pelan pembelian mampu rasa termasuk kepada para pelajar dengan tiap titisan dijual antara RM3 hingga RM5,” katanya.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya1952.
Ujian air kencing mendapati suspek lelaki berusia 24 tahun positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan mencuri.
Sumber: Warta Oriental