Putrajaya: Trend golongan muda menghisap vape atau rokok elektronik semakin membimbangkan apabila ada dalam kalangan murid berusia lapan tahun dikesan terbabit dengan ketagihan itu.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat tahun lalu, 254 murid seawal usia lapan tahun mula menghisap vape.
Manakala bagi sekolah menengah, ia mencatat angka yang tinggi apabila seramai 17,931 terjebak menghisap vape.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noormi Othman berkata, murid ini mendakwa menghisap vape di usia lapan tahun disebabkan bapanya membuat perkara sama.
“Dia cakap bapa dia pun hisap vape. Itu yang saya risau kalau ibu bapa sendiri tidak cakna merokok atau menghisap vape di dalam rumah, itu sangat berbahaya untuk generasi akan datang,” katanya kepada Harian Metro di sini.
Dr Noormi mendedahkan pihaknya mengetahui perkara ini hasil pemeriksaan berkala dijalankan pegawai pergigian di sekolah negara ini.
“Sebagai doktor pergigian, kita ada hint (tanda) macam mana kita tahu individu itu menghisap vape. Dia ada tanda. Sekarang ini baunya wangi seperti strawberi atau buah-buahan.
“Tetapi tanda keputihan pada lelangit mulut dapat memberi kesan itu kepada penghisap vape selain kita juga boleh bertanya kepada murid itu sendiri,” katanya.
Selain itu katanya, tanda lain seseorang itu menghisap vape adalah daripada warna gigi.
Katanya, tanda warna gigi ini sama seperti individu menghisap rokok iaitu berwarna kekuningan dan coklat yang boleh dikesan di belakang dan depan gigi.
“Vape ada nikotin, (jadi) kesan warnanya sama (seperti rokok),” katanya.
Dr Noormi berkata, antara dibimbangkan KKM adalah penjualan peranti itu di luar sekolah secara berleluasa, mudah dibeli dalam talian dan perubahan alat itu yang kini sudah diubahsuai.
“Dengan perubahan ini, ia sangat merisaukan kita. Dulu kita tengok vape itu besar, nak bawa pun macam tak berapa canggih. Tetapi sekarang ia sudah diubah suai seperti thumb drive dan ada pelbagai bentuk,” katanya.
Dalam pada itu Dr Noormi berkata, apabila pihaknya mengetahui murid berkenaan menghisap vape, pendekatan diambil dengan menjalankan intervensi seperti kaunseling dan nasihat.
“Kita buat susulan terhadap murid (yang menghisap vape di usia muda) ini dari tahun ke tahun. Kita bercakap dengan dia adakah mahu berhenti menghisap vape dan ceritakan keburukannya,” katanya.
Beliau berkata, pemberhentian menghisap vape mesti datang daripada diri sendiri dan jika paksaan dilakukan terhadap murid ini, ia tidak akan menjadi.
Sekadar nak tunjuk hebat pada rakan
Faktor ingin mencuba sesuatu yang baharu antara penyebab utama kebanyakan pelajar termasuk murid di Lembah Klang menghisap vape atau rokok elektronik di usia muda.
Selain itu, ada dalam kalangan mereka mengakui menghisap vape kerana mahu ‘tunjuk hebat’ dan dewasa.
Bagi Irfan, 17, selain faktor itu, dia menghisap vape kerana pengaruh rakan sebaya.
“Saya hisap (vape) kerana bosan dan saja-saja. Pengaruh rakan sebaya pun salah satu punca juga,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Dia mendedahkan mula menghisap vape sejak berada di tingkatan satu dan akan membeli dua pod vape untuk tempoh sebulan.
Seorang lagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Zaf, 17, brkata dia menghisap vape kerana faktor ingin mencuba sesuatu yang baru.
“Saya saja-saja hisap vape, nak mencuba. Tapi tak adalah ikut pengaruh rakan. Keluarga mengetahui saya menghisap vape, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa,” katanya.
Pelajar lain Aidil, 17, pula berkata, dia menghisap vape disebabkan tekanan di dalam pelajaran selain mempunyai masalah keluarga.
Katanya, dia juga terpaksa membuat kerja sambilan seperti di pasar malam bagi menampung yuran pengajian sekolahnya.
“Saya stres (tertekan) di sekolah, penat dan (menghadapi) masalah keluarga. Faktor itulah penyebab utama saya hisap vape. Kalau orang lain itu, saya tidak tahu.
“Tapi saya juga pernah bertanyakan kepada budak tingkatan satu dan dua yang saya kenal, mereka kata menghisap vape kerana mahu tunjuk hebat,” katanya sambil mendedahkan mula menghisap vape sejak di tingkatan tiga.
Katanya, dia pada permulaan menghisap rokok kemudian beralih kepada menghisap vape yang dilihatnya lebih menjimatkan.
“Saya mula menghisap rokok kemudian berhenti dan selepas itu menghisap vape,” katanya.
Ibu bapa usah ‘wariskan’ tabiat buruk
Ibu bapa wajar memberikan contoh tauladan yang baik dan tidak memberi tanggapan salah kepada anak mereka dengan menghisap vape atau rokok elektronik.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sekiranya ibu bapa menghisap vape, sudah tentu anak mereka akan mencontohi apa yang dilakukan.
“Diharapkan ibu bapa dapat memberikan contoh sebaiknya dan juga diberi maklumat terkini tentang bahaya vape khususnya untuk jangka masa panjang dari segi kesihatan dan tumbesaran,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas trend golongan muda seawal usia lapan tahun menghisap vape yang semakin membimbangkan di negara ini.
Menurutnya, pihak berkaitan dicadangkan untuk mengadakan kempen besar-besaran bagi memastikan murid tidak terjebak dengan aktiviti vape ini.
“Vape ini ada pelbagai bentuk menarik. Kemudian dijual dengan bebas di kedai berhampiran sekolah.
“Jadi perlu ada tindakan sewajarnya. Malah, saya agak bimbang apabila vape dikenakan cukai, seolah-olah memberikan signal (isyarat) bahawa kita membenarkan vape. Bagi saya, ini signal yang salah. Jadi perlu ada kaedah tertentu untuk menanganinya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Jasni Md Kechik menggesa agar satu peraturan berkaitan vape dibuat dan dikuatkuasakan sama seperti rokok.
Menurutnya, melalui peraturan itu, denda juga harus dikenakan kepada ibu bapa yang membiarkan anak mereka menghisap vape.
“Nak kuat kuasakan (peraturan) ini, denda perlu dikenakan kepada pelajar dan ibu bapa itu sendiri. Walaupun tidak besar, kena denda.
“Ini kerana kadangkala denda yang dikenakan terhadap anak, ibu bapa ini tidak kisah,” katanya.
Sumber: My Metro