TEG horizontal logo 2

Benarkan NGO beri kesedaran bahaya rokok, vape di sekolah

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pentadbiran sekolah membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP memberi kesedaran kepada pelajar tentang bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.

Aktivis anti rokok CAP, N.V. Subbarow berkata, CAP bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak dan pelajar sekolah akan ketagih dengan vape sehingga menyebabkan kesihatan serta masa depan mereka akan terancam.

Jelas beliau, sebilangan besar kanak-kanak mengakui mereka tidak membeli sebarang alat vape atau e-rokok sebaliknya menghisapnya menerusi peralatan vape milik bapa atau abang mereka.

“Kanak-kanak ini yang berumur antara sembilan hingga 12 tahun mengakui mereka kerap mencuba vape atau e-rokok milik bapa mereka ketika di rumah.

“Oleh itu, CAP menggesa pentadbiran sekolah membenarkan NGO seperti CAP bertemu dengan pelajar untuk bercakap tentang bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, daripada 300 kanak-kanak yang CAP temui semasa program tanpa nikotin untuk kanak-kanak, kira-kira 200 kanak-kanak mengakui mereka mencuba menghisap vape dua kali seminggu.

Jelas beliau, mereka menghisap vape di rumah apabila ibu bapa mereka tiada disebabkan kerana vape kini berperisa buah-buahan sekali gus percaya perisa tersebut dibuat daripada buah-buahan atau gula-gula.

”Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa juga memberitahu mereka berminat mencuba menghisap vape walaupun menyedari ia adalah racun,” katanya.

Tambahnya, semasa program CAP, kanak-kanak dan pelajar perempuan juga didapati tertarik dengan budaya vape yang mana daripada empat kanak-kanak, seorang kanak-kanak perempuan ketagih dengan vape.

Dalam pada itu, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan vape dan menekankan ia adalah bahan yang membuatkan golongan remaja serta orang dewasa mula menggunakan bahan ketagihan lain.

”Oleh itu, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang mendedahkan vape serta jus berasaskan nikotin kepada kanak-kanak,” katanya.

Sumber: UTUSAN

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss