Lelaki yang ditempatkan di Pusat Pemulihan Nur Albarakah Sufi di Kota Kuala Muda, Kedah itu dilihat berhalusinasi dan berbual seorang diri dalam sebuah bilik.
Pengambilan bahan nikotin seperti rokok dan rokok elektronik (vape) dilihat semakin berleluasa bukan sahaja dalam golongan orang dewasa, malah termasuklah kalangan pelajar sekolah.
Sebelum ini, seorang pelajar usia 16 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai selepas menghisap rokok elektronik atau vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.
Selepas mangsa dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman, hasil pemeriksaan mendapati pelajar lelaki tersebut mengalami sawan kritikal akibat pengambil bahan kimia yang berlebihan.
Bonda Rozita Ibrahim Lawat Pusat Pemulihan Di Kedah
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila Pengasas Jamu Ratu Malaya Rozita Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Bonda Rozita berkongsi pengalamannya sewaktu menziarahi Pusat Pemulihan Nur Albarakah Sufi di Kota Kuala Muda, Kedah.
Menurut Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) Ustaz Mohammad Yaakub Yusra, pihaknya menghantar guru di pusat tersebut bagi mengajar anak-anak yang dijaga di sana membaca al-Quran.
Dalam lawatan Bonda Rozita juga, dia sempat menziarahi salah seorang individu yang terkesan dengan pengambilan rokok elektronik perisa mushroom.
Untuk info, vape berperisa mushroom ini mengandungi bahan aktif utama psilocybin iaitu sejenis halusinogen yang sangat kuat. Pengambilan bahan berkenaan akan menyebabkan seseorang berhalusinasi, berasa seronok yang melampau dan tidak sedarkan diri sepenuhnya.
Anak muda tersebut ditempatkan di sebuah bilik dikenali sebagai Bilik Suluk. Dalam bilik itu, individu perlu duduk di sana selama 44 hari sambil berpuasa. Dalam masa sama mereka juga perlu menghafal beberapa surah kita suci al-Quran sebagai contoh surah al-Waqiah, al-Mulk, Yasin dan banyak lagi.
Lelaki Hisap Vape Mushroom Alami Halusinasi, Berbual Seorang Diri Dalam Bilik
Melihat situasi sebenar lelaki itu, Bonda Rozita terkejut melihat vape mushroom boleh memberi impak yang teruk kepada kesihatan mental seseorang.
Kelihatan lelaki berkenaan sedang berdiri menghadap dinding sambil bercakap seorang diri seolah-olah seperti ada individu lain di hadapannya. Dakwa pengasas pusat pemilihan itu, vape mushroom ada dijual di kawasan sekolah dengan harga semurah RM1 sahaja.
“Ni dah okay tak (sampai tahap) cederakan diri sendiri,” kata Ustaz Mohammad Yaakub.
Harap Golongan Muda Jauhi Vape Perisa Mushroom
Menerusi kapsyen Bonda Rozita yang juga ibu kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri, dia mengambil peluang menasihati golongan generasi muda untuk mengelakkan diri daripada mengambil bahan berbahaya.
“Anak-anak muda tolong jangan hisap vape, rokok dan dadah. Ia adalah racun. Merosakkan otak dan hancur badan, serta menggelapkan masa depan,” kata Bonda Rozita.
Rasa Bimbang Dengan Pengamilan Vape Perisa Mushroom Yang Semakin Berleluasa
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berasa bimbang dengan individu yang semakin terjebak dengan perisa rokok elektronik itu.
“Betul bonda, di tempat saya ramai anak muda terjebak dengan vape mushroom ini. Kesannya amat teruk,” kata seorang pengguna TikTok.
Sementara itu, seorang lelaki turut berkongsi pengalamannya menghisap vape mushroom sebelum berhenti sepenuhnya.
“Syukur sangat-sangat dapat berhenti sepenuhnya daripada ambil vape mushroom tu. Duit sentiasa ada je sekarang, alhamdulillah. Hampir juga nak jadi macam tu sebab nak berhenti pun kesannya teruk. Hadap seksa kesannya,” jelas individu terbabit.