TEG horizontal logo 2

‘Cuba-cuba nasib’ merokok akhirnya dikompaun

KOTA LAKSAMANA 20 Mei – Perbuatan segelintir pelanggan merokok di dalam premis menjual makanan membawa padah apabila mereka dikompaun penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri dalam operasi dijalankan malam tadi.

Operasi Khas Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 diadakan serentak seluruh Melaka turut dijalankan di beberapa premis di Jalan Kota Laksamana membabitkan 10 penguat kuasa bermula jam 8.30 malam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, dalam operasi dijalankan anggota penguat kuasa yang berpakaian awam turut ditugaskan untuk mengesan perokok.

Jelasnya, penguat kuasa berpakaian awam menyamar sebagai pelanggan dan akan mengenakan tindakan sekiranya ada individu yang merokok.

“Hasil keseluruhan pemeriksaan kami mengenakan tindakan terhadap enam individu dikesan merokok manakala seorang lagi menghisap ‘vape’.

“Sebanyak lapan kompaun dikeluarkan terhadap premis yang tidak mempamerkan notis larangan merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakai (PPKHT) 2004 diadakan di Jalan Kota Laksamana, di sini malam tadi.

“Individu terbabit akur dengan tindakan dikenakan terhadap mereka, pemilik premis mengatakan mereka sudah melarang perbuatan itu namun tidak diendahkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, setakat ini sebanyak 705 notis kesalahan telah dikeluarkan pihaknya bermula 2 Jan hingga 14 Mei lalu.

Katanya dari jumlah itu, ia membabitkan 384 notis kesalahan merokok di tempat awam membabitkan peratuan 11 (10) PPKHT 2004.

Sementara itu 204 lagi mengikut kesalahan larangan merokok di kawasan Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) di bawah Peraturan 22 dalam akta sama.

Sumber: https://www.melakahariini.my/cuba-cuba-nasib-merokok-akhirnya-dikompaun/

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss