TEG horizontal logo 2

Dakwaan ‘vape’ tidak memudaratkan perlu diperbetulkan – Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Dakwaan kononnya penggunaan rokok elektronik atau vape tidak memudaratkan perlu diperbetulkan kerana pengguna bahan itu berisiko mengalami kecederaan paru-paru atau E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, EVALI mula didiagnosa pada 2019 di Amerika Syarikat dengan 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian disahkan melibatkan pengunaan rokok elektronik dan vape.

Bagi kes EVALI di Malaysia pula, beliau memaklumkan, dua kes dilaporkan pada 2019, lapan pada 2021 manakala empat kes direkodkan dalam tempoh Jun hingga September lepas.

“EVALI adalah benda serius dan jangan ada org pertikai EVALI ini… ada sesetengah pihak contohnya pihak industri kata tidak wujud EVALI.

“Kita tahu ada bukti saintifik yang vape ini bukan perkara yang datang tanpa mudarat. Kita juga tidak tahu apa yang ada dalam cecair vape itu,” katanya ketika berucap melancarkan Panduan Amalan Klinikal Pengurusan EVALI di sini hari ini.

Katanya, terdapat dua kriteria utama yang perlu ada bagi diagnosa EVALI iaitu sejarah pendedahan kepada rokok elektronik atau vape dan terdapat perubahan radiologi pada x-ray atau CT-Scan paru-paru.

“Pengesanan dan rawatan awal boleh diberikan kepada pesakit yang disahkan menghidap EVALI supaya komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan. Anggaran kos bagi merawat seorang pesakit EVALI yang dimasukkan ke hospital selama empat hari adalah sebanyak RM50,297.37,” katanya.

Khairy berkata, penggunaan rokok elektronik atau vape juga boleh menyebabkan gejala selain gejala pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi.

“Keadaan ini sangat berisiko dan dapat meningkatkan kadar morbiditi dan kematian,” katanya menambah, Kementerian Kesihatan (KKM) kini memantau kes-kes gejala pernafasan berkaitan penggunaan rokok elektronik.

Mengenai Panduan Amalan Klinikal Pengurusan EVALI KKM, beliau berkata, antara perkara yang dinyatakan di dalam panduan amalan klinikal itu termasuklah kriteria diagnosis, isu berkaitan analisis makmal, rawatan yang dapat diberikan serta panduan nasihat dan rujukan pesakit.

“Beberapa bahan lain turut dibekalkan seperti rujukan cepat saiz poket 8 muka surat, modul latihan dan panduan dalam memberikan latihan serta ceramah melalui berbagai platform media,” katanya. 

Sumber : TMT

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss