TEG horizontal logo 2

Dasar GEG: Isu kompaun antara yang tidak dipersetujui, harap sokongan dua pertiga – Dr Zaliha

Dr Zaliha berkata, ketika ini antara isu yang tidak dipersetujui adalah berhubung kompaun yang dikenakan kepada kumpulan berkenaan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Rang Undang-undang (RUU) Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dijangka dibentangkan kali kedua bulan depan, mendapat kelulusan dua pertiga daripada Ahli Parlimen.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini antara isu yang tidak dipersetujui adalah berhubung kompaun yang dikenakan kepada kumpulan berkenaan.

Jelas beliau, segelintir pihak berpandangan generasi muda yang menggunakan produk berkenaan hanya perlu dinasihati atau diberikan khidmat masyarakat.

“Bagi saya apa pun yang terbaiknya kita selesaikan masalah ini, dan kemudian kita bentang pada bulan 10 (Oktober) ini, dan dapat persetujuan daripada semua Ahli Parlimen.

“Sudah tentu, mesti ada yang mungkin tidak bersetuju. Tetapi kalau secara amnya lebih daripada dua pertiga setuju, Alhamdulillah… Iinsya-Allah kita boleh jalan dengan RUU tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Persediaan Persidangan Antara Parti Ke-10 dan Sesi Ketiga Mesyuarat Protokol Menghapuskan Perdagangan Haram Produk Tembakau, di sini, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Dasar GEG atau Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Ia kali kedua RUU berkenaan dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.

Pengurangan kadar denda kepada RM500 berbanding RM5,000 dalam draf awal, adalah antara enam pindaan dibuat terhadap RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM dijadual mengadakan perbincangan dengan JKPK petang ini bagi memuktamadkan pindaan RUU berkenaan.

Tambah beliaum antara intipati yang dijangka dimuktamadkan adalah cadangan tambahan cukai 65 peratus terhadap produk tembakau.

“Kita akan jumpa JKPK petang ini untuk memuktamadkan dapatan yang mereka perolehi. Kita juga ada pandangan kita dan petang ini kita akan cari jalan penyelesaian.

“Adakah pindaan itu kita akan terima secara tuntas atau mungkin ada jalan tengah, kita akan semuanya bincang petang ini,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss