TEG horizontal logo 2

Deklarasi Bangi tuntut cukai 65 peratus terhadap produk tembakau, nikotin

BANGI: Kerajaan dicadang meningkatkan kadar cukai minimum yang efektif terhadap semua produk tembakau, khususnya rokok kepada 65 peratus.

Pengerusi Kluster Perubatan dan Kesihatan Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, berkata kadar itu adalah selari berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, peningkatan kadar cukai minimum itu adalah di antara 10 cadangan disuarakan APM, melalui ‘Deklarasi Bangi’ susulan keputusan kerajaan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 dibuat, 1 April lalu.

“Kita juga mahu kerajaan mengenakan cukai, penetapan harga dan kawalan pemasaran terhadap semua cecair rokok elektronik sebagaimana produk tembakau dan rokok.

“Kadar kepekatan nikotin maksimum yang dibenarkan juga perlu ditetapkan untuk ia berada di pasaran berdasarkan jumlah nikotin bagi setiap miligram (mg) per mililiter (ml).

“Kita akan membuat permohonan kunjungan hormat bagi mengemukakan 10 resolusi ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media, di sini.

Berdasarkan maklumat Perikatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara (SEATCA), kadar cukai terhadap rokok yang dikenakan kini ialah 58.6 peratus.

Pada masa sama, Dr Mohd Cairul berkata, melalui resolusi itu, kerajaan juga dicadang supaya mengenakan lesen khas serta sekatan lokasi penjualan produk rokok elektronik dalam lingkungan lima kilometer (km) dari semua institusi pendidikan dan kawasan perumahan.

Selain itu, katanya semua kerajaan negeri juga diminta untuk mewartakan fatwa haram produk tembakau dan rokok elektronik, selaras dengan pengharaman dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1998 dan 2015 lalu.

“Kita juga mahu kerajaan membuat semakan terhadap keputusan kerajaan mengeluarkan nikotin daripada akta racun sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan.

“Kerajaan juga perlu memastikan komitmen negara untuk mencapai sasaran ‘Generasi Penamat Tembakau’ seperti disarankan WHO iaitu prevalens perokok kurang daripada lima peratus menjelang 2040,” katanya.

Terdahulu APM mengadakan Persidangan Meja Bulat RUU Kawalan Produk Merokok Demi kesihatan Awam 2023 dan Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG): Cabaran dan Implikasi Terhadap Pembangunan Malaysia Madani, di sini.

Pada masa sama, Mohd Cairul berkata, APM turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memastikan RUU terbabit yang dijadual dibentangkan di Parlimen, Mei ini, diluluskan tanpa sebarang penangguhan atau pindaan.

Sementara itu, Presiden APM, Prof Datuk Dr Mohd Saleh Jaafar, pula berkata pihaknya melihat keadaan merokok di negara ini tidak menunjukkan perkembangan baik, sebaliknya ia semakin buruk melalui jumlah peningkatan perokok di Malaysia.

Beliau berkata, atas dasar itu, faktor peraturan dan pendidikan amat penting untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada golongan sasar.

“Kita tidak dilihat bertambah baik sebaliknya semakin teruk apatah lagi dengan keputusan kerajaan baru-baru ini…perkara ini bukan berkaitan isu politik tapi ia berkaitan tiada perubahan…kita perlu berjuang untuk kebaikan negara,” katanya.

Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok Akademi Profesor Malaysia,Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, berkata Malaysia disifatkan mengenakan cukai yang masih rendah berbanding negara seperti Singapura dan Australia.

“Sedangkan melalui WHO, kaedah menaikkan harga rokok melalui percukaian adalah kaedah paling berkesan untuk mengurangkan perokok khususnya kepada remaja yang tiada punca pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan dengan tidak mengeluarkan lesen penjualan rokok elektronik terhadap premis berhampiran perumahan dan sekolah.

“Berdasarkan kajian dibuat SEATCA sebelum ini, kebanyakan premis menjual rokok dan bahan tembakau adalah kurang satu kilometer (km) dengan lingkungan sekolah…kita tidak mahu wujudnya peluang bagi membolehkan pelajar membeli atau terdedah dengan produk tembakau,” katanya.

Beliau berkata, pengguna vape khususnya kanak-kanak seawal di peringkat sekolah rendah, memerlukan tempoh hanya kurang daripada dua minggu ‘pendedahan’ terhadap produk terbabit untuk mereka menjadi ketagih.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss