TEG horizontal logo 2

Denda kurang jadi RM500 antara pindaan RUU GEG

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar denda kepada RM500 berbanding RM5,000 dalam draf awal, adalah antara enam pindaan dibuat terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang akan dibentang di Dewan Rakyat, 12 Jun ini.

Menerusi RUU baharu itu, kuasa penguatkuasaan luas seperti diperuntukkan dalam draf terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk.

Perintah khidmat masyarakat diperkenalkan manakala pemeriksaan badan kepada golongan generasi penamat (GEG) tidak terpakai selepas peruntukan larangan pemilikan kepadaha GEG seperti yang terkandung dalam RUU terdahulu, digugurkan.

Satu klausa baharu turut dimasukkan iaitu pembentangan laporan keberkesanan berkala setiap lima tahun di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dengan laporan pertama dibentang sebelum Januari 2025.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata RUU yang akan dibentang bagi bacaan kali pertama Isnin depan itu, mengekalkan GEG selain bersifat lebih komprehensif terhadap penguatkuasaan rokok konvensional dan alaf baru, dengan jangkaan penguatkuasaan sepenuhnya pada 2030.

“Tanggal 26 Mei 2023 adalah satu kejayaan apabila saya membentangkan memo Jemaah Menteri kepada Kabinet dan mendapat persetujuan supaya RUU ini dibentang di Parlimen.

“Kita dapat persetujuan dan sokongan Kabinet. Kita juga sudah dapat tarikh untuk bentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen pada 12 Jun ini,” katanya pada sesi taklimat RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bersama media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, laporan berkala diperuntuk dalam RUU baharu itu akan mengambil kira apa juga keputusan dan kajian sepanjang lima tahun itu bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengukur tahap keberkesanan perjalanan undang-undang berkenaan.

Pada Ogos tahun lalu, Parlimen meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Bagaimanapun, ia tidak dapat diteruskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

Menyentuh penurunan kadar denda kepada RM500, Dr Zaliha berkata, ia dilaksana supaya tidak membebankan selain bertujuan mendidik masyarakat.

“Denda RM500 yang dikurangkan berbanding draf RUU pertama iaitu RM5,000 asalnya bertujuan tak mahu membebankan, selain kita mahu memastikan (undang-undang) bukan kesalahan menghukum tetapi lebih kepada mendidik,” katanya.

Selain diteliti JPK Parlimen, katanya, beberapa sesi libat urus membabitkan pihak industri turut dilaksana bagi mendapatkan persetujuan bersama berhubung kandungan draf RUU baharu ini.

“Kita sudah ambil nasihat Kabinet untuk buat lagi sesi libat urus. Kita juga sudah ada sesi libat urus dengan Ahli Parlimen pelbagai parti dan tengahari tadi satu taklimat sudah dibuat. Ada yang setuju dan ada yang masih tak jelas mengenai peruntukan yang dipinda ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni yang menyertai JPK Parlimen berkata, Ahli Parlimen kedua-dua pihak beranggapan kadar RM5,000 yang diperuntukkan dalam draf RUU terdahulu terlalu tinggi.

“Kadar RM5,000 terlalu keras oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, maka kita setuju turunkan kepada RM500 dan perkenal khidmat masyarakat dalam RUU baharu ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss