TEG horizontal logo 2

Ganjaran awal bawa padah

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, populariti rokok elektronik (e-rokok) dan vape menimbulkan persoalan mengenai potensi bahaya dalam kalangan remaja.

MALAYSIA muncul antara pasaran e-rokok yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan unjuran sejuta pengguna e-rokok biasa.
MALAYSIA muncul antara pasaran e-rokok yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan unjuran sejuta pengguna e-rokok biasa.

Peranti elektronik ini pada mulanya dipromosi sebagai pengganti lebih selamat untuk tembakau konvensional. Namun pelbagai data daripada kajian terkini menunjukkan ia boleh mendatangkan risiko serius kepada otak remaja yang sedang berkembang.

Reka bentuk yang menarik dengan cecair vape pelbagai perisa, vape dan e-rokok memberi gambaran palsu sebagai alternatif tidak berbahaya serta menjadi sangat popular dalam kalangan remaja.

Peranti ini selalunya boleh diperoleh secara mudah dan tersedia untuk semua termasuk mereka yang di bawah umur.

Pensyarah Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Isa Naina Mohamed berkata, Malaysia muncul sebagai antara pasaran e-rokok paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan unjuran sejuta pengguna e-rokok biasa.

Menurutnya, negara ini mencatatkan peningkatan dalam kelaziman penggunaan e-rokok dalam kalangan orang dewasa Malaysia.

“Pada 2016, pengguna e-rokok berusia 18 tahun ke atas ialah 3.2 peratus dan meningkat kepada 5.4 peratus pada 2020.

“Manakala jumlah pengguna e-rokok berusia 15 tahun ke atas pula adalah 0.8 peratus (2011) dan meningkat kepada 4.9 peratus (2019),” katanya.

Beliau berkata, dalam satu artikel terbitan 2022 menunjukkan daripada 22,228 responden (pengguna e-rokok) yang terbabit dalam kajian e-rokok adalah berumur antara 13 dan 18 tahun.

Jelasnya, mereka terdiri daripada remaja sekolah di Semenanjung Malaysia, manakala 61 peratus responden pula dalam kalangan individu berusia antara 13 dan 15 tahun.

PENYELIDIKAN baharu menimbulkan kemungkinan vape dan penggunaan e-rokok meningkatkan risiko kesihatan mental.
PENYELIDIKAN baharu menimbulkan kemungkinan vape dan penggunaan e-rokok meningkatkan risiko kesihatan mental.

“Melalui pelbagai kemajuan dalam bidang penyelidikan, kita mula memahami zaman keremajaan adalah tempoh perkembangan yang unik.

“Ia merangkumi perkembangan emosi, kognisi dan kemahiran sosial yang dipengaruhi banyak faktor seperti keturunan, persekitaran, pemakanan, pola tidur, farmakoterapi serta hormon,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fisiologi Fakulti Perubatan UKM Prof Madya Dr M Jayakumar pula berkata, dalam tempoh ini, otak melalui perubahan struktur dan fungsi yang dramatik.

“Sistem ganjaran, komponen khusus dalam sistem limbik terbabit dalam mewujudkan perasaan keseronokan, pengukuhan ‘reinforcement’ dan motivasi, sangat sensitif terhadap ganjaran dalam tempoh ini.

“Sistem limbik ialah kumpulan bahagian otak mengawal ganjaran dan emosi, mengalami perubahan besar pada permulaan akil baligh.

“Manakala, korteks prefrontal ‘prefrontal cortex’ yang terbabit dalam membuat keputusan, perancangan, organisasi dan kawalan impuls tidak berkembang sepenuhnya sehingga pertengahan usia 20-an,” katanya.

Dr M Jayakumar berkata, ketidakpadanan antara perkembangan struktur kortikal dan subkortikal menjadikan remaja lebih mudah terdedah kepada tingkah laku berisiko. Disebabkan ini, otak remaja lebih terdedah kepada kesan negatif e-rokok dan vape.

Menurutnya, bahan ketagihan utama dalam produk tembakau seperti rokok, cerut dan kunyah tembakau ialah nikotin.

“Jika dibandingkan dengan dadah lain seperti opioid dan ganja, nikotin tidak menyebabkan tahap euforia atau kemerosotan sama.

“Nikotin diserap dengan pantas dalam aliran darah dan segera dibekalkan ke otak apabila asap rokok memasuki paru-paru, boleh mencapai kemuncak dalam masa 10 saat selepas disedut,” katanya.

Katanya, perokok mesti meneruskan dos nikotin untuk mengekalkan kesan euforia kerana kesan segera nikotin dan sensasi ganjaran nikotin cepat hilang.

“Berbanding dadah lain yang disalahgunakan, rokok tidak mengeluarkan dopamin tinggi dengan setiap sedutan.

“Bagaimanapun, jika dilakukan dengan kerap bersama aktiviti harian lain, ganjaran nikotin sangat berkait dengannya. Oleh itu, ia meningkatkan keseronokan dan motivasi yang kita peroleh daripada aktiviti ini,” katanya.

Tambahnya, sama seperti rokok konvensional, e-rokok dan vape boleh berulang kali mengaktifkan laluan ganjaran nikotin.

VAPE dan e-rokok boleh mendatangkan risiko serius kepada otak remaja yang sedang berkembang.
VAPE dan e-rokok boleh mendatangkan risiko serius kepada otak remaja yang sedang berkembang.

“Dari semasa ke semasa menyebabkan penyahpekaan dan menjadikannya perlu untuk menggunakan kuantiti nikotin lebih besar bagi mendapat manfaat sama.

“Ini bermakna jumlah nikotin lebih besar mungkin diperlukan untuk mengalami kesan euforia yang sama. Perubahan dalam pemprosesan ganjaran nikotin boleh menjadikannya lebih berkemungkinan seseorang menjadi ketagih kepada nikotin serta dadah atau aktiviti lain,” katanya.

Dr M Jayakumar berkata, nikotin mempunyai kesan negatif ketara kepada otak yang sedang berkembang. Kajian dilakukan ke atas haiwan, meningkatkan lagi pengetahuan mengenai bagaimana nikotin mempengaruhi otak sedang berkembang.

“Sebagai contoh, apabila tikus kajian terdedah kepada nikotin pada usia remaja, ia cenderung mencari dan mengambil nikotin di kemudian hari, berbanding tikus terdedah kepada nikotin ketika dewasa.

“Di samping itu, pendedahan nikotin sepanjang usia remaja boleh menghalang perkembangan korteks prefrontal iaitu bahagian otak bertanggungjawab terhadap pertimbangan, kawalan impuls dan membuat keputusan melalui kesan neurotoksiknya,” katanya.

Manakala Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan UKM, Dr Rashidi Mohamed Pakri Mohamed pula berkata, perokok berantai ‘chain smoker’ mungkin gelisah, mengidam, sedih, bimbang, mengalami masalah berkaitan kognitif dan perhatian, kesukaran tidur serta peningkatan selera makan ketika pantang nikotin.

“Sebelum berjaya berhenti merokok secara kekal, majoriti perokok mencuba beberapa kali dan ini menunjukkan kesukaran tinggi untuk berhenti merokok. Nikotin juga meningkatkan dan memanjangkan rangsangan daripada aktiviti harian.

“Oleh itu, tanpa nikotin, perokok yang cuba berhenti nikotin mendapati aktiviti ini kurang merangsang atau menarik,” katanya.

Kandungan nikotin tinggi dalam e-rokok dan vape juga antara perkara paling membimbangkan. Di Malaysia, cecair vape pakai buang tunggal mengandungi sehingga lima peratus nikotin, kebiasaannya boleh didapati dengan harga RM10 hingga RM20.

Dr Rashidi Mohamed Pakri berkata, kesan ini paling ketara apabila pendedahan kepada nikotin bermula dalam beberapa tahun pertama remaja dan amat ketara dalam situasi tekanan atau mencabar emosi.

“Oleh yang demikian, penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja boleh menyumbang kepada penyelewengan sosial, termasuk prestasi akademik lemah, gangguan kognitif, defisit perhatian dan peningkatan keagresifan.

“Prospek pendidikan dan profesional masa depan seseorang individu mungkin dipengaruhi defisit kognitif ini. Masa keremajaan adalah tempoh apabila masalah psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan lebih berkemungkinan untuk berlaku,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan baharu menimbulkan kemungkinan hubungan antara vape dan penggunaan e-rokok serta peningkatan risiko masalah kesihatan mental.

“Pendedahan nikotin berpotensi memburukkan gejala atau membawa kepada permulaan penyakit mental dengan mengganggu keseimbangan halus bahan kimia otak yang terbabit dalam pengawalan emosi.

“Untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan generasi akan datang, undang-undang lebih ketat, kempen kesedaran awam serta program pendidikan perlu dipergiatkan.

“Perlindungan remaja mesti diberi keutamaan dan melengkapkan mereka dengan maklumat untuk membuat keputusan kesihatan yang bijak pada masa kini serta akan datang,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss