PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menzahirkan keyakinan untuk mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, secara prinsipnya, ramai wakil rakyat telah menzahirkan sokongan mereka, namun beliau akan memperhalusi peruntukan dari segi penguatkuasaan sewaktu membentangkan RUU itu pada minggu hadapan.
Katanya lagi, perincian itu juga boleh dimasukkan ke dalam peraturan, supaya ia dijadikan garis panduan jelas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan RUU itu kelak.
“Saya beritahu kepada mereka, mana yang kita boleh perketatkan dalam peraturan, akan kita perketatkan, sebab RUU itu ada akta , lepas itu ada peraturan, yang menjadi perincian dari segi pelaksanaan.
“Saya kata banyak perkara kita boleh bawa ke peringkat regulation, supaya tidak ada yang menyalah guna kuasa dan sebagainya. Memang sentiasa ada garis panduan sebab ramai ingat ramai ingat baharu.
“Sekarang ini pun memang dah ada Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Jadi banyak kesalahan dalam akta (RUU) ini memang sudah menjadi kesalahan sekarang. Jadi ia bukan benda yang baharu,” katanya lagi.
RUU tersebut, yang digelar sebagai Generational End Game (GEG), telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 27 Julai lepas.
Ia antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti.
Individu dalam kumpulan berkenaan, yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan.
KKM TERIMA SEBAHAGIAN BESAR SYOR PSC
Mengulas mengenai syor Jawatankuasa Khas Kesihatan, Sains, dan Inovasi yang diketuai Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, Khairy berkata ada beberapa perkara yang beliau telah kompromi.
“Syor PSC minta generasi yang lahir 2008, saya berjumpa dengan mereka dan saya kompromi untuk generasi 2007. Yang kedua dia minta tidak ada penjara bagi kesalahan, dan kompaun pun RM50 saja, jadi memang tidak ada rekod jenayah.
“Dia minta buat banyak lagi program berhenti merokok, lebih senang dibeli nikotin gum dan sebagainya, saya setuju kita akan buat lebih mudah lagi untuk diperolehi,” katanya lagi.
Namun, Khairy berkata, syor supaya diadakan penilaian mandatori itu tidak dimasukkan ke dalam akta, namun Jawatankuasa Khas Penilaian akan tetap ditubuhkan.
“Saya cakap kepada mereka saya tidak buat dalam akta, tapi saya bagi jaminan kita buat jawatankuasa bebas yang akan nilai undang-undang ini, dan akan bentangkan laporan tentang keberkesanannya sebelum GEG dikuatkuasakan pada 2025.
“Saya beri jaminan jawatankuasa ini akan ditubuhkan dan akan lapor kepada Parlimen, bukan kepada Kementerian Kesihatan. Dan 10 tahun selepas GEG dilaksanakan, akan buat penlaian lagi.
“Saya dah bagi komitmen, walaupun dia minta mandatory review, diminta ada dalam akta, memang tak ada provision selain sunset clause, dan itu tidak sesuai,” kata Khairy.
Tambahnya lagi, beliau patuh kepada sebahagian besar syor tersebut, dan meminta mana-mana Ahli Parlimen yang tidak menyokong untuk tidak mengganggu laluan RUU tersebut.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau telah memberi jaminan kepada Dr Kelvin bahawa penubuhan jawatankuasa bebas itu bukan sahaja dibuat secara hitam putih, malah akan disebut dalam pembentangan supaya ia menjadi rekod hansard, dalam usaha melindung jamin penubuhan jawatankuasa bebas itu.
CUBAAN PEMAIN INDUSTRI PENGARUHI AHLI PARLIMEN ADALAH SATU KESALAHAN
Menyentuh mengenai usaha pemain industri tembakau yang cuba mempengaruhi Ahli-ahli Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini, Khairy berkata, itu adalah satu kesalahan di bawah Rangka Kerja Konvensyen Pengawalan Tembakau oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WHO FCTC).
Tegasnya lagi, pemain industri tembakau tidak boleh mengganggu atau cuba mencampuri urusan perundangan mana-mana negara tentang kawalan tembakau.
“Ini adalah satu kesalahan di bawah Framework Tobacco Control – Big Tobacco tak boleh melobi atau campur tangan dalam perundangan mana-mana negara tentang kawalan tembakau.
“Tapi tak apalah, nasib baik yang Ahli-ahli Parlimen yang mereka jumpa ni, beri jaminan akan tetap sokong RUU ini.
“Pandangan (pemain industri) dia biasalah, RUU ini worthless. Tetapi saya akan lawan pasaran gelap. Kalau saya lawan, untung dia akan meningkat juga. Sebab orang akan hisap rokok secara sah. Saya tak mahu benda ini jadi alasan untuk kita. Dia akan anggap RUU ni worthless sebab akhirnya tak ada pasaran untuk dia,” kata Khairy.
Tambahnya lagi, beliau konsisten mempersoalkan mengapa pemain industri ini hendak terus menjual produk yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
MENGAPA TIADA TINDAKAN SAMA UNTUK GULA DAN ALKOHOL?
Dalam pada itu Khairy berkata, beliau sedar tentang wujudnya persoalan sama ada mengapa Kerajaan tidak melakukan langkah yang sama terhadap produk lain seperti gula atau alkohol.
“Faktanya mudah, tidak ada kuantiti yang selamat untuk rokok. No safe quantity threshold for smoking. Benda lain, kalau ambil dengan sederhana, dia tidak mudaratkan. Sudah tentu arak itu haram untuk Islam. Tetapi untuk rokok, there is no safe minimum quantity for smoking.
“Makan garam lebih tak mudaratkan kesihatan orang lain, awak sahaja saja sakit, minum arak lebih awak sahaja saja mabuk, melainkan awak bawa kereta. Itu sudah ada peruntukan undang-undang,” katanya.
Khairy berkata, pihak yang bercakap tentang soal hak kebebasan dan sebagainya, harus sedar kebebasan itu tidak boleh sehingga memudaratkan nyawa dan kesihatan orang lain.
SUMBER: Astro Awani