Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu untuk bacaan kali pertama.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru sokongan orang awam dan Ahli Parlimen menyokong RUU tersebut.
Ia merupakan usaha membina Generasi Penamat Rokok (GEG) — generasi yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007.
Pada tahun ini, generasi GEG baru berusia 16 tahun dan sekiranya ia dilaksanakan, mereka tidak dibenarkan membeli dan mengguna sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.
Jadi pada pandangan anda secara umum, adakah wajar penetapan RUU tersebut?
Mampukah Malaysia melakukan sesuatu yang negara maju pun tidak mampu lakukan?
Usaha KKM ini jelas untuk menyekat kebiasaan merokok pada generasi baharu. Umum mengetahui merokok mendatangkan banyak kemudaratan kepada diri dan orang sekitar.
Justeru, majoriti fatwa dikeluarkan juga menyatakan perbuatan merokok itu jelas haram.
Bagi perokok golongan dewasa atau yang berpuluh-puluh tahun menghisap rokok, segala nasihat dan fatwa dikeluarkan mungkin ibarat mencurah air ke daun keladi.
Melepaskan rokok di jari mereka lebih sukar daripada mengambil telefon pintar di tangan anak kecil.
KESAN MENYELURUH
Justeru, penetapan GEG untuk mereka yang lahir pada 2007 dilihat bersesuaian memandangkan mereka belum mencecah 18 tahun.
Sekiranya tidak dilaksanakan, kerajaan bakal berdepan dengan kos rawatan perubatan yang tinggi.
Dengan anggaran pertumbuhan penduduk sebanyak 1.5 peratus mengikut Jabatan Statistik Malaysia, 2015, dalam masa lima tahun dan kenaikan kos perubatan sebanyak 5 peratus setahun untuk kos rawatan bagi penyedia perkhidmatan dan kos pesakit.
Kerajaan mungkin berdepan dengan kos RM8.77 bilion menjelang 2030 untuk merawat tiga penyakit akibat merokok konvensional iaitu kanser paru-paru, serangan jantung dan chronic obstructive airway disease.
Oleh itu, pelaksanaan GEG dilihat dapat menguntungkan negara kerana kos rawatan penyakit berpunca daripada rokok lebih tinggi berbanding kutipan cukai rokok.
Untuk makluman, RUU ini diolah semula dengan beberapa pembaharuan setelah mengambil kira isu berbangkit semasa pembentangan sebelum ini serta syor daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Menurut perkongsian di Facebook Dr Zaliha Mustafa, bagi merangka RUU lebih komprehensif, kira-kira 70 sesi libat urus diadakan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), pakar perubatan, pemain industri, ibu bapa dan lain-lain.
Segala penilaian di pelbagai peringkat dilakukan untuk menyakinkan Ahli Parlimen dan memastikan RUU ini diterima tanpa unsur berbangkit.
Pelaksaanaan inisiatif GEG juga membantu mengurangkan penjualan rokok yang tidak sah.
Apabila generasi ini disekat daripada memperoleh produk tembakau, ketagihan ke atas produk ini boleh dikurangkan, seterusnya menyebabkan permintaan rokok berkurangan.
Perbuatan merokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan perokok, tetapi juga orang sekeliling terutama kanak-kanak.
ASAP BASI
Apabila seseorang merokok, kesan sisa tembakau masih melekat pada baju, kulit dan rambut.
Sehubungan itu, orang sekeliling terutamanya kanak-kanak tidak boleh dianggap bebas daripada bahaya rokok apabila perokok merokok di luar bangunan.
Oleh itu, orang ramai terutamanya kanak-kanak hendaklah menjauhi perokok agar dapat mengurangkan risiko kesihatan yang berpunca daripada sisa asap basi seperti masalah saluran pernafasan, serangan asma, perkembangan otak terencat dan jangkitan paru-paru.
Sementara itu, KKM menepis dakwaan yang menyatakan penggunaan rokok elektronik atau vape tidak memudaratkan kesihatan.
Tabiat menghisap rokok elektronik atau vape bagi jangka masa panjang boleh mengakibatkan perokok menghidap penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) yang menunjukkan beberapa gejala seterusnya mengakibatkan komplikasi serius.
Justeru, orang ramai perlu mengambil inisiatif menghentikan tabiat menghisap rokok elektronik atau vape agar dapat mencegah Evali dan bernafas dengan baik hingga ke akhir hayat.
Bagi Generasi Penamat yang melanggar undang-undang atas kesalahan melibatkan rokok, mereka tidak dikira sebagai satu kesalahan jenayah.
Sebaliknya, mereka dikenakan perintah khidmat masyarakat bagi tujuan pendidikan agar golongan ini mempunyai kesedaran untuk meninggalkan tabiat merokok termasuk rokok elektronik.
Orang awam tidak perlu bimbang ke atas pelaksanaan GEG bagi melahirkan generasi muda bebas tanpa amalan merokok.
GEG dilarang terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan rokok, rokok elektronik atau vape termasuk aktiviti jual beli dan penggunaan produk tersebut.
Kesemua larangan yang dinyatakan dimasukkan ke dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Sumber: Suara Sarawak