TEG horizontal logo 2

Haramkan sahaja e-rokok, vape sebelum jadi kesengsaraan negara

PENGHARAMAN e-rokok dan vape perlu dilakukan segera memandangkan jumlah pengguna peranti itu dalam kalangan pelajar sekolah kian meningkat.

VAPE akan menjadi kesengsaraan pada masa depan negara dan sukar untuk dihapuskan sama seperti rokok melainkan ia diharamkan sekarang. Justeru, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk mengharamkannya.

Peniaga mengeksploitasi pelajar sekolah dengan menjual produk vape kepada mereka secara haram. CAP mendapati ramai pelajar sekolah mengakui bahawa mereka menghisap vape dan ini membawa kita kembali kepada persoalan bagaimana mereka boleh mempunyai akses kepada peranti itu.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 yang terkini, penggunaan e-rokok dan vape dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun lalu.

Bahkan Kementerian Kesihatan menyifatkan kemunculan produk ini sebagai ancaman kesihatan awam.

Justeru, penguatkuasaan undang-undang amat perlu dengan membolehkan pihak berkuasa menangkap mereka yang melanggar undang-undang dan mengenakan hukuman paling berat.

Kes keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia. Malah seorang bayi berusia empat bulan turut menjadi mangsa.

Bahkan bahan cecair yang terkandung dalam peranti ini apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberi kesan keradangan dan menyebabkan kecederaan paru-paru.

Amat sayang apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan pada Jun lalu tetapi kemudiannya dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) Parlimen. Ini akan melambatkan proses penguatkuasaan undang-undang.-UTUSAN

N.V.SUBBAROW
Pegawai pendidikan dan aktivis anti merokok dan vape.

Sumber: Utusan

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss