TEG horizontal logo 2

Hormati hak asasi generasi muda

SEMPENA Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada hari ini, setiap masyarakat Malaysia perlu untuk menghormati hak asasi generasi muda kita seperti kesihatan, pendidikan berkualiti, dan perlindungan daripada pengaruh berbahaya.

Menurut pensyarah di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr Siti Idayu Hasan, salah satu ancaman paling bahaya kepada kesejahteraan kanak-kanak adalah peningkatan penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja.

“Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang baru dilaksanakan di Malaysia pada 1 Oktober, menyediakan rangka kerja undang-undang yang sangat penting untuk menangani isu ini.

“Namun, kita perlu memanfaatkan pendidikan dan media sosial sebagai sekutu kuat dalam perjuangan ini. Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada kandungan pro-vape di media sosial berkait langsung dengan peningkatan penggunaannya dalam kalangan belia.

“Taktik seperti sokongan selebriti memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan tingkah laku golongan muda terhadap vape. Luana Chacon Santos dari Universiti York memberi amaran ;Normalisasi rokok elektronik dalam kalangan golongan muda boleh membawa kepada pengulangan pola berbahaya yang kita lihat dalam industri tembakau dahulu.

“Namun, dalam menghadapi cabaran ini, media sosial juga menawarkan peluang baik untuk mendekati golongan muda. Kajian menunjukkan keberkesanan kempen anti-vaping yang disasarkan di media sosial. Satu kempen selama 60 hari di platform seperti Facebook dan Instagram telah mengubah sikap golongan muda terhadap penggunaan vape, dengan peserta melaporkan niat lebih rendah untuk menggunakannya.

“Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang bertemakan untuk setiap kanak-kanak, setiap hak, marilah kita bersatu melindungi hak setiap kanak- kanak kepada masa depan yang bebas daripada risiko vape dan ketagihan nikotin.

“Bersama-sama, kita dapat memperjuangkan hari esok yang lebih selamat dan sihat untuk setiap kanak-kanak, setiap hak. Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia!,” ujar beliau. 

Sumber: Wilayahku

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss