TEG horizontal logo 2

I-MEDIK Gesa Pertimbang Semula Pengecualian Cecair Nikotin Dari Akta Racun

KUALA LUMPUR, 03 April 2023 – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK) menggesa agar Menteri Kesihatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempertimbangkan semula keputusan mengecualikan cecair nikotin dalam Akta Racun 1952.

Menurut Dr. Ihsanuddin Abas, Ketua Unit Kesihatan Awam I-MEDIK, tindakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam meminda Akta Racun 1952 akan menjadikan penggunaan cecair nikotin bagi produk rokok elektronik dan vape (vaporing devices) tidak lagi dipantau di bawah akta tersebut sekali gus membolehkan penjualannya kepada masyarakat berikutan ketiadaan undang-undang lain yang khusus berkenaan penjualan ‘candu’ vape sehingga kini.

“Keputusan YBMK ini boleh membuka ruang besar penggunaan dan ketagihan nikotin berleluasa melalui penggunaan rokok elektronik dan vape tanpa kawalan dalam kalangan masyarakat termasuklah kanak-kanak dan remaja.”

“Ini kerana tiada undang-undang semasa yang boleh menyekat kanak-kanak dan remaja mendapatkan cecair nikotin dan menghisap ‘candu’ vape apabila pindaan ini dibuat. Malah Pengerusi Majlis KAwalan Tembakau Malaysia, Dr. M Muralitharan menyatakan penjualan cecair nikotin juga tidak dikawal di bawah Akta Makanan 1983,” jelas beliau.

Katanya, perkara tersebut secara langsung akan menjejaskan komitmen Kerajaan terhadap Polisi Generasi Penamat yang dibentangkan oleh Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada Oktober 2022.

Lantaran itu, I-MEDIK menyatakan pendirian serta komitmen mereka untuk mendesak Kerajaan dalam menghalang sebarang usaha penggunaan dan penjualan nikotin tanpa kawalan dibenarkan dalam masyarakat.

“I-MEDIK sebagai sebuah NGO perubatan dan kesihatan juga menyatakan kerisauan akan kelemahan mekanisme kawalan penjualan rokok elektronik dan vape dalam masyarakat hari ini yang menunjukkan peningkatan penggunaan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ini ditambah pula penggunaan cecair nikotin boleh dijual secara terbuka tanpa sekatan.”

“I-MEDIK menggesa YBMK dan KKM menimbang semula kewajaran keputusan ini dan ianya sangat bertentangan dengan kaedah pencegahan awal risiko penyakit tidak berjangkit kepada semua pihak,” katanya lagi menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi I-MEDIK.

Baru-baru ini, sebuah media tempatan melaporkan bahawa Kerajaan mengecualikan cecair vape daripada Akta Racun 1952.

Sumber: Samudera

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss