KOTA KINABALU: Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) menyokong penuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Februari lalu untuk mengawal secara menyeluruh terhadap semua jenis produk rokok termasuk Rokok Eletronik atau VAPE.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, akta ini diharap mendapat penguatkuasaan dan pelaksanaan yang mencukupi seterusnya mengharamkan penggunaan semua jenis rokok pada masa hadapan.
“Penguatkuasaan yang efektif serta kakitangan yang mencukupi adalah perlu dalam pelaksanaan akta ini. Seperti mana yang dilaporkan, peratusan remaja berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 17 tahun yang menggunakan rokok konvensional menurun kepada 6.2 peratus pada 2022 berbanding 13.8 peratus pada 2017.
“Daripada angka ini wujud pula trend yang membimbangkan bagi golongan terbabit dalam kategori rokok elektronik iaitu berlaku peningkatan dari 9.8 peratus pada tahun 2017 hinggalah ke 14.9 peratus pada tahun 2022.
“Ini adalah isu yang sangat serius melibatkan orang muda memandangkan mereka yang dalam lingkungan ini adalah pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, vaping ini dianggap sebagai satu trend yang dianggap tidak seserius rokok konvensional dan popular dalam kalangan muda mudi.
“Tanggapan mereka ini sebenarnya silap kerana kedua-duanya bersifat memudaratkan dan perlu dibendung.
“Untuk membendung masalah rokok elektronik ini adalah dengan mengehadkan penjualan alat ini. Pada masa ini, rokok elektronik mudah didapati di mana-mana memandangkan ia dijual secara terbuka. Bukan sahaja di tempat tempat tertentu malah ia senang didapati bahkan boleh diperolehi di kedai makan serta di tempat awam.
“Ramai muda mudi gemarkan rokok elektronik kerana ia mengandungi pelbagai perisa bermacam jenis seperti vanilla, kopi dan buah-buahan,” katanya.
Beliau berkata, isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, serta sekolah dan pihak kerajaan perlu mengambil pendekatan perundangan yang serius khususnya dalam penjualan rokok elektronik ini terhadap golongan muda.
“Apa yang paling penting penjualan rokok secara terbuka perlu dihadkan. Kita ingin melahirkan generasi baru bebas asap rokok tanpa mengira rokok elektronik mahupun rokok konvensional.
“Untuk mencapainya, kita harus mengubah pandangan anak muda terhadap apa jua asap yang dihembus dari mulut melalui paru-paru adalah pembunuh senyap jika tidak dibendung dengan wajar,” katanya.
Sumber: Utusan