PUTRAJAYA: Isu denda antara topik yang dijangka mendapat tentangan hebat anggota Dewan Rakyat sebaik Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan di Parlimen, bulan depan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menerima banyak pandangan mengenai isu denda itu dan ada yang berpandangan kumpulan Generasi Penamat Rokok atau GEG ini tidak perlu dikompaun.
Beliau berkata, ada juga berpendapat, GEG ini hanya perlu dinasihati serta dikenakan perintah khidmat masyarakat.
“Kami akui wujud pelbagai pandangan mengenai perkara itu dan ia akan diselesaikan serta dimuktamadkan segera.
“Isu itu (denda) juga akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan petang ini dan dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sebelum ini, KKM mencadangkan kadar denda sebanyak RM500 bagi kesalahan merokok berbanding RM5,000 yang dicadangkan pada peringkat awal.
Dalam perkembangan sama, Dr. Zaliha berkata, perbincangan bersama JKPK petang ini bagi memuktamadkan dapatan yang mereka peroleh berkaitan pindaan RUU berkenaan.
Katanya, cadangan tambahan cukai 65 peratus terhadap produk tembakau juga akan dimuktamadkan petang ini.
Beliau bagaimanapun yakin RUU itu akan mendapat sokongan dan persetujuan Ahli Parlimen lebih dua pertiga.
Sumber: Utusan