TEG horizontal logo 2

Johor kekal larang jual beli vape

JOHOR BAHRU: Johor tetap dengan keputusannya tidak akan membenarkan penjualan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape seperti yang dikuatkuasakan sejak 2016, walaupun cukai peranti itu telah dikuatkuasakan bermula 1 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, larangan penjualan vape serta produk berkaitan dengannya telah dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu di negeri ini.

Menurutnya, larangan itu masih terpakai melibatkan jual beli vape termasuk perisanya sama ada dalam bentuk gel atau cecair, khususnya yang mengandungi nikotin.

“Tiada sebab untuk Johor mengubah pendirian berhubung larangan menjual vape hanya kerana kerajaan Persekutuan telah melaksanakan cukai melibatkan peranti tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, larangan jualan vape di premis-premis perniagaan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala kesalahan menghisap vape di tempat awam tertakluk kepada Jabatan Kesihatan.

“Setakat ini, tiada PBT di negeri ini telah mengeluarkan lesen perniagaan kepada pihak untuk menjual peranti vape dan produk berkaitan dengannya.

“Oleh itu, orang awam yang mempunyai maklumat tentang penjualan vape berserta bahan perisa, khususnya yang mengandungi nikotin boleh membuat laporan kepada PBT masing-masing. Tindakan boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah,” tegasnya.

Pada 1 Januari 2016, kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti tersebut ekoran titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang kegiatan tersebut di negeri ini.

Ahad lalu, kerajaan telah mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) dalam usaha mengenakan cukai produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss