Kabinet yang bermesyuarat semalam telah meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok untuk dibentangkan dan dibahaskan pada sesi Parlimen yang akan bermula Isnin ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk membenarkannya dibentangkan.
Undang-undang baharu yang dicadangkan itu akan mengandungi pelan untuk melarang penjualan serta pemilikan rokok, tembakau dan produk vape terhadap mereka yang dilahirkan selepas 1 Januari 2005, yang juga dikenali sebagai generasi penamat.
Khairy sebelum ini menyatakan undang-undang baharu ini akan membantu negara dalam menurunkan prevalen perokok secara keseluruhan serta mengurangkan beban kos perawatan penyakit-penyakit akibat komplikasi tabiat merokok ini.