TEG horizontal logo 2

Kamu patut minta maaf pada mangsa – Hakim

MUAR: “Orang yang patut kamu minta maaf ialah mangsa,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat terhadap seorang pembantu kedai makan yang meminta maaf selepas mengaku bersalah merogol remaja di sebuah hotel di Batu Pahat, Mac lalu.

Tertuduh Muhamad Raffie Md Elias,19, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku merogol mangsa dengan menyuruhnya menghisap rokok elektronik (vape) yang mengandungi bahan mengkhayalkan.

Dia sebelum itu kelihatan teresak-esak sambil memohon maaf ketika mahkamah memberi peluang kepadanya membuat rayuan terhadap kesalahan dilakukan.

Pada prosiding itu, Abu Bakar turut meminta tertuduh supaya berjumpa dengan mangsa kelak untuk memohon maaf sebaik selesai menjalani hukuman.

“Kalau dilihat pada fakta kes, kamu menyuruhnya menghisap vape tanpa kerelaan mangsa sebelum melakukan perbuatan itu.

“Kamu tiada kekurangan apa-apa, tetap ada kasih sayang daripada keluarga tetapi kesalahan ini kamu sendiri lakukan.

“Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah lebih mempertimbangkan pada mangsa selain mengambil kira trend hukuman terkini membabitkan kesalahan seperti ini,” hujahnya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah juga mendengar laporan sosial tertuduh yang dibentangkan Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Faezah Ajmain.

Mengikut pertuduhan, anak kesembilan daripada 10 beradik itu didakwa merogol kenalan berusia 15 tahun di hotel bajet, bandar Batu Pahat, pada jam 1.30 pagi, 23 Mac lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebatan.

Berdasarkan fakta, tertuduh membawa mangsa membonceng motosikal bersama rakan perempuan lain sebelum mereka singgah di hotel terbabit.

Ketika berada dalam bilik hotel, mangsa disuruh menghisap vape yang disyaki mengandungi bahan mengkhayalkan menyebabkan dia separuh sedar.

Kesempatan itu diambil tertuduh melakukan perbuatan terbabit, dan satu laporan polis dibuat sebaik mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakannya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman penjara dan sebat, mahkamah juga memerintah tertuduh menjalani pengawasan polis setahun selepas selesai hukuman selari dengan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Muhamad Raffie dipenjara lima tahun dan dua sebatan selepas mengaku merogol remaja dalam hotel di Batu Pahat

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss